JenayahMalaysia

Judi dalam talian meningkat ketika PKP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan ramai kaki judi beralih kepada kegiatan judi dalam talian, tahun lalu, apabila terpaksa berkurung sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan susulan pandemik COVID-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata 4,327 serbuan judi dalam talian dilakukan pada 2019, namun ia meningkat kepada 6,350 tahun lalu.

Sepanjang tempoh tahun ini hingga 31 Oktober lalu pula, beliau berkata, sebanyak 6,321 serbuan judi dalam talian telah dijalankan.

“Selain pelaksanaan PKP, kepesatan teknologi dan peningkatan penggunaan Internet juga antara faktor yang mendorong ‘tahi judi’ terbabit kegiatan judi dalam talian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, PDRM sentiasa bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengekang kegiatan judi dalam talian.

Katanya, SKMM akan membantu menyekat laman sesawang yang dikenal pasti mempromosi kegiatan perjudian dalam talian yang dilakukan secara haram itu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 17,382 serbuan dengan 25,643 tangkapan berjaya dilaksanakan PDRM dalam Op Dadu di seluruh negara sejak awal tahun ini hingga 31 Oktober lalu.

Sebanyak 18,038 unit komputer, komputer riba dan telefon bimbit serta wang tunai RM8.29 juta turut dirampas.

“Daripada jumlah serbuan itu, 9,561 membabitkan kegiatan loteri awam tanpa lesen, judi dalam talian (6,321), catit taruh (535), judi dalam bangunan (407), judi luar bangunan (294) dan ‘calling center’ (264),” katanya.

Sepanjang tahun lalu pula, Abd Jalil berkata, sebanyak 15,958 serbuan dilakukan dengan 26,656 individu ditahan.

Polis turut merampas 25,098 unit komputer, komputer riba dan telefon bimbit serta wang tunai RM9,201,631.

“Serbuan loteri awam tanpa lesen juga mendahului dengan 8,324 serbuan, diikuti judi dalam talian (6,350), judi dalam bangunan (408), judi luar bangunan (400), ‘calling center’ (264) dan catit taruh (275),” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 15,958 kertas siasatan dibuka berhubung kes perjudian, dengan 7,632 (47 peratus) berjaya dituduh pada tahun lalu.

“Tahun ini, jumlahnya meningkat dengan 17,382 kertas siasatan dibuka dan 8,362 (48 peratus) berjaya dituduh,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Abd Jalil berkata, 161 operator perjudian dilesenkan oleh Kementerian Kewangan di seluruh negara sejak 1991.

“Sejak 1991, PDRM melakukan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada pelanggaran syarat lesen.

“Sejak tempoh itu juga, kita mendapati tiada pertambahan premis judi berlesen dan lesen dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close