#kitajagakitaCovid-19Malaysia

Malaysia rekod 65,584 kes kematian pada suku ketiga, tertinggi sejak 2017

KUALA LUMPUR – Negara ini merekodkan peningkatan jumlah kematian sebanyak 60.5% pada suku ketiga tahun ini kepada 65,584 berbanding 40,858 pada tempoh sama tahun 2020.

Kematian pada suku tahun ketiga ini merupakan kematian tertinggi sejak siri masa suku tahunan dikeluarkan pada 2017.

Bilangan kematian bagi lelaki dan perempuan masing-masing sebanyak 37,085 dan 28,499 kematian.

Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 13,926 kematian (21.2%) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 90 kematian (0.1%).

Ketua Perangkaan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, kematian disebabkan oleh Covid-19 merupakan penyumbang utama kepada peningkatan ketara bilangan kematian pada suku tahun ketiga 2021 yang mana 21,165 (32.3%) direkodkan daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun ketiga 2021, iaitu meningkat daripada 15 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2020.

Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi akibat Covid-19 iaitu 7,788 kematian manakala Putrajaya merekodkan kematian terendah iaitu hanya sembilan kes.

Menurut beliau, kematian disebabkan oleh Covid-19 juga turut menunjukkan peningkatan pada suku tahun ketiga 2021 di negara-negara ASEAN dan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun dan United Kingdom.

Mengulas lanjut, kelahiran hidup mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus (120,147 kelahiran), berbanding suku tahun ketiga 2020 (120,725 kelahiran).

Kelahiran bayi lelaki melebihi bayi perempuan iaitu 61,613 kelahiran berbanding bayi perempuan (58,534 kelahiran).

Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 22,956 kelahiran (19.1%) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan Labuan (430 kelahiran: 0.4%).

Jelas Mohd Uzir, penurunan bilangan kelahiran ini adalah selari dengan negara lain seperti di Amerika Syarikat, Korea, United Kingdom, Perancis dan Sepanyol.

Berdasarkan data anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku tahun ketiga 2021 dianggarkan 32.67 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding suku tahun ketiga 2020 (32.60 juta).

Jumlah penduduk ini merangkumi 30.01 juta orang (91.9%) warganegara dan 2.65 juta orang (8.1%) bukan warganegara.

Data penduduk ini adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran & kematian dan migrasi bersih.

Pada suku tahun ketiga 2021, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.89 juta) dan nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Manakala nisbah jantina penduduk warganegara dan bukan warganegara adalah 102 dan 156 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.32 juta kepada 2.41 juta bagi tempoh yang sama, selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk.

Penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) menurun daripada 7.57 juta pada suku tahun ketiga 2020 kepada 7.52 juta pada suku tahun ketiga 2021.

Manakala, penduduk berumur 15-64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.72 juta (suku tahun ketiga 2020) kepada 22.74 juta pada suku tahun ketiga tahun ini.

Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun ketiga 2021 iaitu Selangor (20.1%) diikuti oleh Sabah (11.7%) dan Johor (11.6%).

Sementara itu, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close