Malaysia

Selaras sumber, kerjasama hadapi situasi ‘bencana dalam bencana’ – PM

KUALA LUMPUR –  Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana atau Disaster Risk Reduction (DRR) selaras peranannya sebagai agensi utama membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

Justeru jelas beliau, kajian Daftar Risiko Bencana (National Risk Register atau NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau
berpotensi berlaku.

“Ia bagi memudahkan untuk kita merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals.

“Bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia,  Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan komuniti Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021) di sini hari ini.

Ismail Sabri menambah, antaranya inisiatif itu sebagai platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan orang perseorangan dan penerima yang diwakili Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah.

Pada masa sama, kata beliau, NNR mengenai maklumat -maklumat bencana yang boleh diperluaskan seiring peredaran masa selain Community-Based Disaster Risk Management – Pandemic (CBDRM-P) yang melibatkan peranan komuniti dan pengurusan bencana.

“Selain inisiatif turut melibatkan Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (Survey on Disaster Risk Reduction and Management (DRRM) Capacities of State and Local Governments in Malaysia).

“Apa yang penting, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan sosial,” katanya.

Ismail Sabri turut mengingatkan pandemik Covid-19 dan varian-variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya dalam negara ini.

Kata beliau, ia akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ’bencana dalam bencana’ terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 3 November yang lalu.

“Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ ini, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.

“Ia bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah disediakan.

“Pada masa yang sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana,” katanya. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close