MalaysiaSetempat

Ismail Sabri diberi sambutan rasmi oleh Presiden Jokowi

JAKARTA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Indonesia, bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi di Istana Bogor hari ini.

Ismail Sabri diberikan sambutan permaidani merah dan kawalan kehormat. Beliau disambut Jokowi sebaik tiba di kompleks pejabat eksekutif dan kediaman rasmi presiden.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan tembakan meriam.

Kemudian, Ismail Sabri sambil diiringi Jokowi, memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada anggota pasukan keselamatan presiden.

Beliau turut diperkenalkan kepada menteri Kabinet Indonesia sebelum kedua-dua pemimpin meneruskan agenda perbincangan.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang, termasuk pengaturan koridor perjalanan, pendidikan, maritim, perdagangan dan pelaburan serta perkara berkaitan kastam.

Satu sidang akhbar bersama dijangka diadakan selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan mengukuhkan kepentingan strategik bagi dua negara yang mempunyai hubungan terpenting di Asia Tenggara itu.

Pada 5 November lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata akan membincangkan pembangunan di sempadan Sabah dan Kalimantan bersama Jokowi, memandangkan Indonesia merancang untuk memindahkan ibu negaranya ke pulau Borneo pada separuh pertama 2024.

Perdana Menteri tiba di Jakarta semalam untuk memulakan lawatan pertamanya ke negara jiran itu sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close