Malaysia

Lelaki ditahan, dipercayai kelar tikam ibu saudara sendiri

IPOH – Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai membunuh ibu saudaranya dalam satu kejadian di Kampung Cina, Menglembu di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3.10 petang tadi, berhubung kejadian seorang wanita yang pengsan dan tidak sedarkan diri, sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk siasatan lanjut.

“Setibanya di lokasi, pihak kami menemui seorang wanita yang terbaring di tepi katil dengan keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan forensik mendapati wanita berumur kira-kira 70 tahun itu telah meninggal dunia di tempat kejadian dan terdapat sebilah pisau di belakang lehernya selain kesan tikaman dan kelar. Seorang lelaki, yang merupakan anak saudara mangsa berumur 40 tahun, ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Yahaya berkata mayat wanita tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, siasatan juga akan dijalankan bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk sama ada suspek mempunyai rekod sejarah perubatan dengan mana-mana hospital sebelum ini.

Sementara itu, seorang jiran mangsa A.Lingam, 37, berkata ahli keluarga mangsa ada memaklumkan bahawa suspek pernah meracau beberapa hari lepas, dipercayai akibat sakit mental yang dihadapinya.- BERNAMA

Source
Malaysia GAzette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close