MalaysiaSetempat

Harga ayam tak naik, penternak gulung tikar – FLFAM

KUALA LUMPUR: Penternak ayam akan terus menanggung kerugian serta berdepan risiko gulung tikar jika harga ayam di pasaran tidak meningkat sedangkan kos input yang ditanggung bertambah setiap hari.

Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng, berkata, penternak bukan sahaja perlu berdepan dengan kenaikan harga makanan ayam malah faktor lain seperti ketidaktentuan cuaca yang boleh memberi kesan kepada kesihatan dan tumbesaran ayam sekali gus menyebabkan peningkatan kos operasi.

Malah, katanya, harga kelapa sawit yang turut dimasukkan dalam dedak ayam turut meningkat daripada RM2,500 untuk satu tan kepada RM5,300, minggu lalu.

“Ia belum dicampur lagi dengan kos vitamin dan mineral untuk pembesaran ayam. Jika kos semakin meningkat tetapi penternak dipaksa menjual dengan harga murah atau kurang daripada kos terpaksa ditanggung, ini akan menyebabkan mereka gulung tikar.

“Kalau penternak ayam rugi, tentulah mereka tidak mempunyai modal untuk menternak kumpulan ayam yang seterusnya.

“Situasi sekarang ini sememangnya memberi tekanan kepada penternak ayam dan mereka yang terbabit dengan industri ini,” katanya kepada BH.

Baru-baru ini, pemilik rangkaian pasar raya Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, dalam sebuah portal berita dipetik sebagai berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani isu kenaikan harga ayam di pasaran kini.

Beliau mendakwa, menjelang minggu depan harga ayam akan naik daripada RM8 kepada RM9.39 sekilogram, iaitu kenaikan sebanyak RM1.40 hanya dalam tempoh lebih dua bulan.

Jeffry berkata, isu kos operasi yang tinggi perlu ditanggung penternak serta kaitannya dengan peningkatan harga ayam di pasaran perlu difahami oleh semua pihak.

“Saya sendiri adalah seorang pengguna dan saya tahu kenaikan harga barangan yang terpaksa ditanggung pengguna kini. Tetapi dalam masa sama, kita mahu semua pihak faham bukan harga ayam sengaja dinaikkan tetapi penternak sendiri tersepit dan terpaksa menanggung pelbagai kos yang boleh menyebabkan mereka kerugian,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, meminta kerajaan melaksanakan penyelesaian segera bagi memastikan kenaikan harga ayam yang dijangka berlaku dapat dikurangkan impaknya kepada semua pihak.

Beliau berkata, ia termasuk melaksanakan segera kaedah pemberian subsidi kepada pengusaha ladang ayam seperti sedang dipertimbangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Selagi pemberian subsidi tidak dilaksanakan, penternak dan pemborong ayam akan terus berdepan masalah disebabkan beberapa faktor yang menyebabkan kenaikan harga ayam termasuk peningkatan kos dedak dan jagung yang kebanyakannya diimport dari luar.

“Paling utama, KPDNHEP melalui kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu memastikan penyelesaian yang akan diambil dapat mengurangkan impak kenaikan harga ayam kepada penternak, peladang dan terutamanya pengguna,” katanya kepada BH.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close