MalaysiaPolitic

PRN Melaka: Mohd Azrudin janji atasi masalah banjir di Pengkalan Batu

Formula itu, kata Azrudin tidak sukar untuk dilaksanakan, namun tidak dijalankan oleh pihak yang mewakili kawasan tersebut. – Foto BERNAMA

MELAKA: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Mohd Azrudin Md Idris berjanji akan menyelesaikan masalah banjir yang sering melanda DUN itu dalam tempoh 100 hari jika diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini.

Calon berusia 40 tahun itu berkata beliau ada formula menyelesaikan masalah itu selaras dengan manifesto PN yang akan diumumkan tidak lama lagi yang merangkumi Pelan Pemulihan Banjir Melaka.

”Jika diberi mandat sebagai wakil rakyat di situ, saya boleh menyelesaikan masalah banjir dalam tempoh 100 hari.

Ini janji saya kepada penduduk Pengkalan Batu yang selama ini bergelut dengan bencana tersebut saban tahun,” katanya pada sidang media di Alai di sini pada Khamis.

Formula itu, katanya tidak sukar untuk dilaksanakan, namun tidak dijalankan oleh pihak yang mewakili kawasan tersebut.

”Bukan masalah sungai yang cetek. Hanya selenggara parit dan longkang yang tersumbat.

Jadi kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, saling memaklumkan bagi memastikan saluran pengaliran air ke longkang lancar,

” katanya.Sementara itu, Mohd Azrudin berkata beliau juga akan memberi tumpuan kepada masalah ruang tempat letak kenderaan di Hospital Melaka yang semakin padat menyebabkan orang ramai yang hendak mendapatkan rawatan di hospital itu terpaksa meletak kenderaan di tepi jalan sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.

”Sebelum ini terdapat cadangan untuk membina parkir bertingkat namun tiada tindakan susulan.

Kita akan semak perkara ini dan akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, kerusi DUN Pengkalan Batu dimenangi Datuk Norhizam Hassan Baktee daripada DAP yang bertanding atas logo PKR dengan majoriti 2,756 undi menewaskan Chua Lian Chye (Barisan Nasional) dan Ramli Dalip (PAS).

Mohd Azrudin bakal berdepan saingan lima penjuru menentang Norhizam (Bebas), Datuk Kalsom Noordin (BN), Muhamad Danish Zainudin (PH) dan Dr Alwi Sari (Parti Bumiputera Perkasa Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN dan pengundi berdaftar seramai 495,195 orang dengan 48.57 peratus pengundi lelaki manakala 51.43 peratus adalah wanita.

Source
Astro Awani
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close