MalaysiaSetempat

RM30 juta diperuntukkan baiki jalan ke Ulu Tembeling

JERANTUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM30 juta bagi membaiki segera kerosakan jalan utama ke Ulu Tembeling dari Kuala Tahan ke Mat Daling.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, berkata dalam tinjauannya mendapati banyak berlaku kerosakan serius di sepanjang jalan itu yang memerlukan tindakan segera.

Katanya, jalan itu berbahaya kepada pengguna jalan raya kerana terdapat empat lokasi mendap dan runtuh selain terdapat beberapa runtuhan kecil di beberapa lokasi lain.

Beliau berkata, KPLB akan mengambil langkah segera di mana kerja pembaikan sementara akan dilakukan minggu depan manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau kerja pembaikan kekal hujung November ini.

“Pada masa sama, kita akan melakukan kerja penyelenggaraan di sepanjang jalan ini termasuk memastikan longkang berada dalam keadaan baik bagi memastikan aliran air lancar,” katanya.

“Kita akan berhadapan musim tengkujuh, justeru semua longkang perlu diselenggara dengan baik kerana antara faktor berlaku runtuhan adalah disebabkan ada pergerakan tanah di bahagian bawah jalan akibat aliran air yang tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat lawatan kerja meninjau lokasi jalan yang mendap dan runtuh di sepanjang jalan Kuala Tahan ke Kampung Mat Daling sejauh 48 kilometer itu.

Sebelum ini, media melaporkan keresahan 2000 penduduk beberapa kampung di Ulu Tembeling yang bimbang terputus hubungan kerana jalan mendap dan runtuh selain berbahaya kepada pengguna jalan raya terutama pada waktu malam.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close