Malaysia

PTPTN berjaya kutip RM15.5 bilion pinjaman daripada graduan – Noraini

KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mengutip kira-kira RM15.5 bilion daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 30 September lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menjelaskan, sepatutnya PTPTN menerima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik.

Bagaimanapun, akibat kekangan pandemik Covid-19, kerajaan memahami peminjam tidak dapat menjelaskan bayaran masing-masing.

“Setakat 30 September ini juga seramai 2.4 juta peminjam telah menamatkan pengajian dan sepatutnya PTPTN mula menerima hampir RM24.6 bilion sebagai bayaran balik.

“Bagaimanapun, disebabkan pendemik, hanya 77.75 peratus telah mula membayar balik dengan 800,000 peminjam telah selesaikan pinjaman, 400,000 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten mengikut jadual pembayaran dan 700,000 peminjam lagi membuat bayaran balik tetapi tidak konsisten.

“Keseluruhannya sebanyak RM15.5 bilion telah berjaya dikutip oleh PTPTN menerusi kaedah pembayaran itu dan insentif yang disediakan,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni (PBB) yang meminta KPT menyatakan apakah status insentif pembayaran PTPTN anak Sarawak dan setakat ini berapa bilangan yang memanfaatkan skim tersebut.

Menurut Noraini, dalam konteks Sarawak, KPT menyambut baik inisiatif yang dilaksanakan, khususnya dalam hal berkaitan dengan kebajikan pelajar serta graduan institut pengajian tinggi (IPT).

“Dalam hubungan itu, kredit harus diberikan kepada kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak atas inisiatif memperkenalkan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN anak Sarawak kepada peminjam PTPTN kelahiran Sarawak.

“Mereka telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman menerusi usaha proaktif kerajaan Sarawak dengan memberi pengurangan 30 peratus ke atas pinjaman yang masih berbaki.

“Inisiatif ini dilihat banyak membantu meringankan komitmen serta menggalakkan pembayaran balik pinjaman khususnya dalam kalangan peminjam kelahiran Sarawak,” katanya.

Jelas beliau, pada tahun 2020, seramai 9,321 peminjam mendapat manfaat daripada insentif yang pertama diperkenalkan itu dan satu-satunya setakat ini di Malaysia dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM30 juta.

Usaha itu, kata Noraini akan dilaksanakan secara berterusan.

Menjawab soalan tambahan, jelas beliau lagi, modal pembiayaan yang digunapakai oleh PTPTN sebenarnya bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana bagi membiayai pinjaman sedia ada dan juga pembiayaan baru.

Menurut beliau, antara inisiatif PTPTN sebagaimana diumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini ialah diskaun 15 peratus atas baki hutang sebagai jalan penyelesaian penuh pinjaman.

Katanya, 12 peratus ditawarkan sekiranya peminjam membayar 50 peratus dari baki hutang dan 10 peratus insentif sekiranya bayaran balik itu dibuat melalui potongan gaji. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close