KESIHATANMalaysia

Minum air sudah dimasak

Kuala Lumpur: Penyakit taun atau kolera berpotensi menjadi endemik jika tidak dikesan awal dan membendung jangkitannya.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ia perlu dielak kerana kesan penyakit itu boleh mengakibatkan kematian dan morbiditi teruk.

“Ada beberapa negara miskin mempunyai wabak endemik taun dan Malaysia bukan satu daripada negara berkenaan. Sebelum ini pernah terjadi kes taun di Malaysia seperti Terengganu, Selangor dan Sabah.

“Tahun lalu, ada beberapa kes taun berlaku di Sabah,” katanya kepada Harian Metro.

Kelmarin, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitternya memaklumkan, satu kes taun dikesan Jabatan Kesihatan Selangor di daerah Petaling, Selangor.

Beliau berkata, taun ialah penyakit bawaan air yang menyebabkan cirit-birit akut dan berair rice water, berpunca daripada toksin kuman gram negatif iaitu vibrio choleraserogroup O1 or O139.

Menurutnya, pesakit boleh meninggal dunia dalam tempoh beberapa jam jika tidak dirawat apabila mengalami gejala teruk seperti cirit-birit berterusan, gangguan elektrolit, renjatan akibat kurang air (shock), gangguan jantung dan buah pinggang serta tidak keruan.

“Jangkitan penyakit ini boleh berlaku melalui bawaan air tercemar dengan najis daripada penghidap taun. Maka, ia dikenali sebagai feco oral, iaitu jangkitan daripada najis ke mulut (air atau makanan).

“Penyediaan makanan dan minuman menggunakan sumber air tidak bersih juga boleh meningkatkan risiko jangkitan taun.

“Selain itu, jika menternak atau menangkap haiwan laut seperti kerang dan kepah yang tercemar dengan air basuhan najis taun maka makanan ini boleh menjadi punca berlakunya wabak taun,” katanya.

Dr Sharifa Ezat menasihatkan supaya mengelakkan daripada memasuki kawasan wabak dan mengunjungi kedai makan tidak bersih.

“Pastikan minum air yang sudah dimasak, mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman selepas menggunakan tandas dan elak bermain air banjir dan air longkang disyaki dicemar najis.

“Gantian cecair rawatan paling utama diberi kepada pesakit. Bagi penyakit peringkat awal, pesakit diberi rawatan cecair melalui oral.

“Manakala rawatan intravena adalah untuk kes yang serius,” katanya.

Tambahnya, golongan paling berisiko dengan jangkitan taun ialah kanak-kanak, warga emas, pesakit mempunyai komorbiditi teruk akibat penyakit HIV dan kekurangan nutrisi.

Source
Harian Metro
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close