MalaysiaSetempat

MB pertahan tindakan penguatkuasaan terhadap kebun haram Musang King

KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempertahankan tindakan kerajaan negeri melaksanakan operasi membanteras penerokaan haram, termasuk memusnahkan kebun durian Musang King yang dibuka di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Beliau menegaskan operasi itu bukan bertujuan mahu menganiayai mana-mana pihak termasuk pekebun, sebaliknya sebahagian daripada langkah pemuliharaan alam sekitar yang menjadi sebahagian daripada objektif utama kerajaan negeri, yang dari tahun ke tahun turut menambah keluasan HSK.

“Sekarang kita sangat serius dalam isu penerokaan tanah haram, kerana ia menimbulkan persepsi negatif kepada negeri. Apabila kita keluar seperti ke Kuala Lumpur, kita dengar orang bercakap jika nak tanam durian secara haram pergi ke Pahang, curi pasir dan melombong haram pun ke Pahang.

“Durian yang ditanam juga adalah dalam kawasan HSK, yang memang termaktub dalam undang-undang tidak boleh ditanam durian. Jika kita hendak tunggu sehingga habis musim, bila? kerana durian ditanam berfasa-fasa. Baru mengutip hasil di sini, di sebelah sana mula berbunga,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika mencelah perbahasan Chow Yu Hui (PH-Tras) yang membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (2022) 2021, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila Chow membangkitkan operasi memusnahkan 15,000 pokok durian dalam tempoh sembilan hari sekitar Julai lalu, ketika pokok berbuah yang disifatkan seperti tidak prihatin kepada kehilangan pendapatan yang akan dialami pekebun terutama dalam pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Wan Rosdy menegaskan operasi itu bukan menganiaya pekebun kerana mereka telah meneroka tanah itu secara haram selama 20 tahun tanpa membayar cukai kepada kerajaan negeri, selain ‘pertanian’ itu bukan lagi untuk mencari makan, namun telah menjadi perniagaan kepada pihak terbabit.

“Tanah terbabit ialah tanah haram, tidak kiralah sudah diusahakan satu, dua atau 20 tahun. Apabila kita buat penguatkuasaan, maklum balas yang diterima ialah ramai menyokong. Sepatutnya kena puji kerajaan kerana berani ambil tindakan kepada tanah haram, bukan bantah penguatkuasaan,” katanya.

Chow kemudian menjelaskan bahawa beliau juga bersetuju dengan langkah menjaga alam sekitar, namun berharap kerajaan negeri boleh berbincang mencari penyelesaian menang-menang dengan pekebun terbabit, seperti meminta mereka mengosongkan pokok di tepi kawasan tadahan air atau sungai selain mewujudkan zon penampan.

Selepas saling berbalas hampir 10 minit, Wan Rosdy berkata, itu tidak perlu lagi dipanjangkan kerana ada isu berkaitan penerokaan tanah bagi kebun durian Musang King masih dalam proses Mahkamah Tinggi di sini, ekoran permohonan yang difailkan sebahagian pekebun.-BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close