MalaysiaSetempat

Kes rasuah penjawat awam Sabah turun 87 peratus

KOTA KINABALU: Kes rasuah membabitkan penjawat awam di Sabah mencatatkan penurunan 87 peratus bagi tempoh empat tahun lalu berikutan usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasua-h Malaysia (SPRM) dan kerajaan negeri membanteras gejala itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penurunan ketara itu memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama memerangi jenayah itu yang semakin meningkat.

“Statistik SPRM menunjukkan 47 kertas siasatan dibuka pada 2018, kemudiannya menurun kepada 11 kes pada 2019, sembilan kes pada 2020 dan enam kes sehingga Ogos lalu.

“Ia mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat negeri ini bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah,” katanya ketika berucap sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri di Menara Kinabalu, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata kerajaan negeri mengambil langkah mewajibkan sektor awam mewujudkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) bagi memastikan tahap integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam dan menangani gejala rasuah.

“Pelaksanaan OACP juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya percaya jabatan dan agensi kerajaan negeri dapat memberikan komitmen yang tinggi dan berusaha melestarikan integriti secara menyeluruh, khususnya kepada seluruh warga perkhidmatan awam negeri ini untuk bersama melakukan perubahan dengan menyedarkan masyarakat keseluruhannya perbuatan memberi rasuah adalah suatu kesalahan yang amat serius,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close