Malaysia

Marshal berlagak polis: Ahli perniagaan bergelar Datuk dan rakannya serah diri

KUALA LUMPUR – Dua marshal motosikal berkuasa tinggi yang dicari kerana memandai-mandai mengawal serta menghentikan kenderaan awam di Port Dickson, Negeri Sembilan pada bulan lepas akhirnya ditahan.

Salah seorang daripadanya berpangkat Datuk, kata Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 45 dan 49 tahun telah ditahan selepas hadir ke Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik daerah Port Dickson.

“Semalam lebih kurang pukul 12.45 tengahari dan 2.30 petang, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam rakaman aksi marshal tersebut telah hadir ke balai polis untuk serah diri.

“Salah seorangnya adalah berpangkat Datuk dan bekerja sebagai ahli perniagaan dan ejen insurans telah hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka yang dirakam telah ditularkan secara meluas di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aidi Sham, pihaknya juga turut merampas dua buah motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan milik individu yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam di dalam video tersebut.

“Polis juga masih menjalankan siasatan lanjut secara menyeluruh terhadap kedua -dua lelaki jika wujud lain-lain kesalahan,” tegasnya.

Dalam insiden pada 21 November lalu, video sekumpulan lelaki tular di media sosial apabila ada dalam mereka berlagak seperti polis mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di Sua Betong, Port Dickson.

Pada 22 November lalu, dua  lelaki berusia 26 dan 27 tahun masing-masing bekerja sebagai pembantu firma guaman dan penyelia kilang ditahan polis bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu ditahan pada 12.30 tengah malam dan 2.45 pagi tadi di rumah mereka di kawasan Port Dickson dan Springhill, Lukut.

“Turut dirampas dua motosikal jenis Kawasaki GTR 1400 dan Kawasaki Z800, topi keledar, pakaian dan kasut yang digunakan mereka ketika menahan kenderaan awam.

“Polis turut mempergiatkan usaha mencari empat lagi individu yang bertindak sebagai marshal dan mendesak awam menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close