Setempat

Pahang rekod 68 kes kesalahan melibatkan hutan simpan – MB

KUANTAN – Jabatan Perhutanan Pahang merekodkan sebanyak 68 kes termasuk melibatkan pencerobohan dan perlombongan haram di  kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) sepanjang Januari hingga 15 November tahun ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesemua kesalahan itu membabitkan kompaun dan gantirugi lebih RM1,715 630.43 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, statistik berkenaan direkodkan dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

“Sebanyak 51 kes melibatkan pencerobohan hutan, sembilan kes bagi kesalahan transit dan empat kes perlombongan haram dalam hutan simpan.

“Manakala dua kes membabitkan kesalahan kawasan lesen tanah kerajaan dan berkaitan industri berasaskan kayu,” katanya.

Tambah Wan Rosdy, luas keseluruhan kawasan HSK di Pahang berjumlah 1,597 juta hektar dan kawasan berhutan pula berjumlah 2,039 juta hektar.

“Keluasan yang direkodkan ini berdasarkan pertambahan dan pengurangan hutan simpan kekal (HSK) dan juga kawasan berhutan tanah kerajaan yang direkodkan di dalam warta kerajaan.

“Terdapat empat pecahan kawasan berhutan iaitu HSK sebanyak 44 peratus dan taman negara pula tujuh peratus manakala rizab hidupan liar serta tanah kerajaan berhutan masing-masing tiga peratus,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) pada sesi soal jawab Mesyuarat kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang (DUN) Ke-14 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Terdahulu ADUN Bukit Ibam bertanyakan status tindakan yang diambil penguatkuasaan kerajaan Pahang dan nilai denda yang telah dikenakan terhadap aktiviti pencerobohan hutan, keluasan hutan simpan serta HSK di Pahang.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga menyasarkan 60 peratus kawasan berhutan di negeri itu bagi memastikan kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close