Malaysia

‘Tuhan tahu apa kita tengah buat’ – Ariffin

KUALA LUMPUR – Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember ini mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDNHEP WPKL), Ariffin Samsudin berkata, tinjauan kementerian itu mendapati ramai rakyat gembira apabila harga mula diturunkan.

“Berdasarkan pemantauan semasa kita buat program Jualan Keluarga Malaysia di Lembah Pantai baru-baru ini yang dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, rakyat di sana berasa begitu gembira bila KPDNHEP buat satu program rendahkan harga,” katanya selepas pelancaran SHMKM di Lulu Hypermarket, CapSquare, di sini, hari ini.

Menurut Ariffin, pelaksaan skim itu diputuskan melalui perbincangan pelbagai pihak dengan mengambil kira beban hidup rakyat.

“Sebelum keputusan skim harga ini dibuat, ianya melalui perbincangan pihak kementerian dengan pembekal dan semua pemegang-pemegang taruh industri termasuk pasar raya juga terlibat dalam penetapan skim harga maksimum ini, maknanya peniaga juga terlibat,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian kepada  MalaysiaGazette ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong yang berpendapat skim ini tidak menyelesaikan punca utama krisis kenaikan harga barang malah ‘memangsakan’ pihak pengeluar, pemborong, dan peruncit.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, kebanyakan pasar raya dan penjual masih boleh menjual pada harga yang lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan kementerian itu.

“Jadi kalau nak kata itu membebankan kepada mereka (peniaga), mungkin terbeban kepada segelintir tapi mungkin juga jadi advantage (kelebihan) kepada segelintir yang lain,” katanya.

Tambah Ariffin, walaupun menerima kecaman daripada pelbagai pihak, kementeriannya sentiasa berusaha mengurangkan beban rakyat.

“Kita memang tak boleh dapat elak orang nak kata macam mana, itu kita tak boleh nak elak.

“Tapi Tuhan tahu apa yang kita tengah buat, kita sedang berusaha dengan sebaik-baiknya,” katanya lagi.

Justeru, KPDNHEP menyeru pihak pasar raya dan peniaga lebih kreatif untuk mencari jalan mengurangkan kos agar dapat menawarkan harga berpatutan. – MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close