Sport

PSG jumpa Real, Liverpool hadapi Inter

PARIS: Paris Saint-Germain akan menentang Real Madrid manakala Liverpool bertemu Inter Milan dalam dua perlawanan menarik kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas UEFA terpaksa mengulangi undian malam tadi kerana “masalah teknikal.”

PSG sebelum itu diundi menentang Manchester United yang akan menemukan musuh lama Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun undian semula menyaksikan mereka akan menentang juara 13 kali Eropah, Real manakala skuad dari Old Trafford itu akan bertemu juara Sepanyol, Atletico Madrid.

UEFA sebelum itu menyalahkan “kesilapan material” berikutan “masalah teknikal berkaitan perisian dan pembekal perkhidmatan luar” ketika mereka mengumumkan undian peringkat kalah mati itu perlu dibuat semula selepas tiga jam.

Ketika ia disiarkan secara langsung daripada ibu pejabat UEFA dekat Nyon, Switzerland, masalah itu terbukti apabila nama Manchester United diundi berdepan Villarreal, walaupun kedua-dua kelab tidak boleh bermain satu sama lain selepas diletakkan dalam kumpulan sama.

Bola yang mengandungi nama United tidak diletakkan secara betul jadi mereka tidak dimasukkan sebagai lawan untuk pasukan seterusnya.

UEFA yang malu dengan keadaan itu tiada pilihan selain memulakan kembali proses.

PSG yang memiliki bintang penyerang Messi, Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria, kini akan berdepan Real yang mendahului La Liga dan diuruskan bekas pengendali mereka, Carlo Ancelotti.

Kelab Sepanyol itu menumbangkan PSG pada peringkat sama pada 2017/18 dan hubungan antara kedua-dua kelab kurang baik apabila Real secara terbuka mahukan tandatangan Mbappe yang kontraknya akan tamat musim ini.

Madrid tampak tidak gembira dengan undian itu apabila sebelum ini diberikan lawan lebih mudah menentang Benfica dalam perlawanan pertama sebelum masalah dikesan.

“Ia mengejutkan, memalukan dan sukar difahami memandangkan jutaan penonton menantikan undian itu,” kata pengarah hubungan institusi Madrid yang juga bekas pemain, Emilio Butragueno kepada siaran televisyen kelab.

Liverpool pula sebelum itu diundi dalam saingan kalah mati menentang Red Bull Salzburg dari Austria.

Bagaimanapun mereka kini akan berdepan bekas juara tiga kali, Inter, juara Serie A yang kini mendahulu liga Itali.

Skuad kendalian Jurgen Klopp menewaskan jiran Inter, AC Milan dua kali dalam saingan peringkat kumpulan.

Salzburg sebaliknya akan menentang juara enam kali, Bayern Munich manakala finalis musim lalu, Manchester City akan bertemu Sporting Lisbon dan Benfica menentang Ajax. – AFP

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close