MalaysiaPolitic

SPR saran 1,213,769 pengundi buat semakan awal

KUCHING: Seramai 1,213,769 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi Sabtu ini.

Ia bagi mengetahui maklumat berkaitan pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak, berkata ketika semakan dibuat, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklmat berkenaan.

“Semakan boleh dibuat menerusi saluran portal semakan daftar pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi digalakkan untuk setiap pengundi.

Katanya, pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

“Jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

“Bagaimanapun, pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan khas pencegahan COVID-19 pada hari mengundi nanti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

“Catatan maklumat pengundian akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“Pengundi juga dinasihat tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain, selain petugas pilihan raya. SPR menyeru semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini,” katanya.

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar layak mengundi Sabtu ini manakala seramai 20,360 orang adalah pengundi awal dan 17,885 sudah mengundi secara pos.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close