MalaysiaSetempat

Lebih 100 lokasi tanah runtuh

KUALA LUMPUR: Sebanyak 121 tanah runtuh berlaku di seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut 2021/2022, berdasarkan laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan JMG dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah dan sedang mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu.

“JMG dan JKR diminta untuk menyelaras pelaporan tanah runtuh supaya lebih menyeluruh dan turut melibatkan kawasan cerun di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, NADMA memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diarah mengenal pasti kaedah penyelesaian terbaik bagi menempatkan penduduk yang perlu mengosongkan rumah sudah tidak selamat didiami berikutan tanah runtuh.

Sementara itu, susulan ramalan amaran hujan lebat berpanjangan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang dilanjutkan hingga Isnin ini, kenyataan itu memaklumkan JPBN dan daerah diarah meningkatkan kesiapsiagaan, bagi memastikan operasi pengurusan bencana berjalan lancar.

Menurut NADMA, Polis Diraja Malaysia selaku komander Pos Kawalan Tempat Kejadian perlu menyelaras persediaan menghadapi banjir yang dijangka berlaku bersama semua agensi responder lain.

Berikutan banjir yang dilaporkan mula berlaku di Sipitang, Sabah, semua agensi responder di negeri berkenaan turut diarah bersiap siaga untuk bertindak dan membuka pos kawalan.

Penduduk terutama di kawasan dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa, selain boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa di laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close