Malaysia

Kilang cetus 30 kes positif Covid-19 diserbu

JASIN – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah kilang kotak di sini yang mencetuskan 30 kes positif Covid-19 dan ingkar arahan penutupan sementara operasi mengundang padah apabila dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihak majikan juga dikesan telah meminta 112 pekerjanya yang menjadi kontak rapat kepada 30 pekerja positif Covid-19 datang bekerja hari ini.

Susulan itu, berdasarkan aduan yang diterimanya sendiri daripada pekerja kilang berkenaan, satu serbuan dibuat dan hasilnya pihak kilang mengakui ingkar dengan arahan dikeluarkan dengan alasan ‘perlu memenuhi permintaan pelanggan’.

“Semalam, hasil ujian RTK seramai 30 daripada 170 pekerja kilang ini didapati positif Covid-19 dan pihak kilang telah diminta menghentikan sementara operasi selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan.

“Semua pekerja yang menjadi kontak rapat kepada 30 orang yang positif itu juga telah diminta kuarantin kecuali 28 orang di bahagian pentadbiran.

“Tapi hari ini saya menerima aduan dan terus melakukan serbuan sebelum pihak pekerja mengakui kesalahan beroperasi dengan alasan perlu memenuhi permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke kilang berkenaan di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Dr Akmal kesal kerana setelah hampir dua tahun kerajaan ‘berperang’ dengan Covid-19, masih ada pihak industri yang bersikap mementingkan keuntungan berbanding keselamatan dan nyawa orang ramai.

“Saya ingin tegaskan, dalam usaha membendung Covid-19 ini bukanlah kerja Kementerian Kesihatan (KKM) semata-mata tapi tapi semua pihak termasuk industri.

“Amaran keras dari saya dan kerajaan negeri, mana-mana industri yang mengingkari arahan ini kita tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan mahkamah yang paling berat kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, bagi kes kilang berkenaan katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengarahkan 112 pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan 30 kes positif berkenaan untuk memakai gelang kuarantin.

Kilang terbabit turut dikenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta 342.- MalaysiaGazette

Source
Malaysia Gazette
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close