
KUALA LUMPUR: Fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari mulai hari ini hingga Rabu depan, dijangka dalam skala kecil tetapi berpotensi bertukar buruk jika disertai angin kencang dengan ombak besar dan hujan lebat secara serentak.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, susulan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu, penduduk pesisir pantai khususnya di negeri pantai barat Semenanjung, yang disaran agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar.
“Fenomena air pasang besar pada kali ini berskala lebih kecil berbanding kejadian pada November lalu, namun keadaan itu akan menjadi lebih buruk, sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.
“Situasi itu akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
NADMA berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan JPS akan memberi pemakluman awal yang dikemaskini dari semasa ke semasa, agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dapat bersiap siaga menghadaoi sebarang kemungkinan.