MalaysiaSetempat

Tempat pelancongan di Janda Baik tutup empat bulan

BENTONG: Tempat pelancongan popular Pahang, Janda Baik di sini dijangka rugi kira-kira RM12 juta apabila sebahagian kawasan tumpuannya tidak boleh beroperasi selama empat bulan, selepas musnah dalam bencana banjir berpunca daripada kejadian kepala air, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Kebudayaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin, berkata antara lokasi yang paling teruk terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu ialah Pulau Santap yang juga pusat rekreasi utama Janda Baik.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 buah daripada 54 tempat peranginan atau resort dan chalet di Janda Baik musnah teruk dengan kerosakan dianggarkan di antara RM157,500 hingga RM6 juta bagi setiap tempat peranginan atau chalet.

“Kita akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk membantu memulihkan semula kawasan terbabit dengan memberikan peruntukan khas yang boleh diutamakan untuk kerja baik pulih infrastruktur seperti jalan raya, kawasan awam dan jambatan.

Kesan kemusnahan kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik akibat kejadian banjir besar Disember. - Foto BERNAMA
Kesan kemusnahan kawasan Rekreasi Pulau Santap, Janda Baik akibat kejadian banjir besar Disember. – Foto BERNAMA

“Selain itu, kita juga mohon pertimbangan diberikan kepada pengusaha pelancongan di sini mendapatkan kemudahan pinjaman fleksibel untuk mereka memulihkan resort atau chalet yang rosak yang akan menelan belanja besar seberapa segera yang boleh,” katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kemusnahan akibat banjir di sekitar Pulau Santap di sini hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Tourism Pahang juga menurut Mohd Sharkar, akan menyenaraikan tempat di Janda Baik yang terpaksa ditutup sementara dan tempat peranginan atau chalet yang masih boleh menerima kehadiran pelancong untuk semakan mereka yang berhasrat melancong ke situ.

“Kita berharap Janda Baik dapat kembali beroperasi secepat mungkin kerana pelancongan punca pendapatan ramai penduduk setempat. Kira-kira 300 pekerja akan terkesan dengan penutupan sementara chalet dan resort di sini.

Pengusaha sewaan kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV), Mohd Zaimi Mustapha, 43, memeriksa ATV miliknya yang rosak akibat banjir besar di kawasan Rekreasi Pulau Santap Janda Baik, hari ini.
Pengusaha sewaan kenderaan All-Terrain Vehicle (ATV), Mohd Zaimi Mustapha, 43, memeriksa ATV miliknya yang rosak akibat banjir besar di kawasan Rekreasi Pulau Santap Janda Baik, hari ini.

“Turut terkesan ialah aktiviti ekonomi lain yang bergantung kepada pelancongan seperti pengusaha makanan dan mereka yang menjalankan perniagaan seperti sewa kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV) dan menunggang kuda kerana Janda Baik sebelum ini, sentiasa penuh setiap hujung minggu,” katanya.

Ditanya jika banjir menjejaskan perancangan pelancaran semula Tahun Melawat Pahang tahun ini, yang terkesan akibat pandemik COVID-19 selama dua tahun, Mohd Sharkar berkata, pihaknya akan memberi tumpuan ke destinasi lain tidak terjejas banjir seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser, Cherating di Kuantan dan Pulau Tioman, Rompin.

Bagi lokasi pelancongan lain dilanda banjir seperti Taman Negara di Jerantut, Sungai Lembing di Kuantan dan Titik Tengah Semenanjung di Lanchang, Temerloh, kerja pemulihan dijadual dapat diselesaikan segera kerana destinasi terbabit sudah dijangka dinaiki air pada musim tengkujuh. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close