MalaysiaSetempat

Johor kekal jarak solat jemaah setengah meter

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengekalkan jarak setengah meter antara jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini, walaupun terdapat kawasan terjejas dengan penularan COVID-19, ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, berkata kes penularan COVID-19 yang berlaku di Taman Sri Pulai Perdana, di sini, yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk taman berkenaan, Ahad lalu, tidak menjejaskan ketetapan jarak setengah meter berkenaan.

“Kita kekalkan jarak sedia ada iaitu setengah meter bagi solat Jumaat dan fardu lima waktu di masjid dan surau negeri ini yang sudah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, minggu lalu.

“Walaupun berlaku kes penularan COVID-19 di Masjid Taman Sri Pulai Perdana, ia tidak akan mengubah ketetapan itu.

“Ia berikutan masjid dan surau di kawasan berkenaan sudah diarah ditutup sementara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan misi bantuan pasca banjir Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Pusat Islam Iskandar, hari ini.

Pada 5 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan supaya pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter antara jemaah, sebelum ini.

Perubahan itu berkuat kuasa bermula 7 Januari lalu hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, Tosrin memaklumkan, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai 47 kes positif COVID-19 yang dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana, di sini.

“Saya difahamkan kes di Taman Sri Pulai Perdana membabitkan jemaah umrah yang baharu pulang. Namun saya akan mendapatkan butiran lanjut daripada KKM,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan sebanyak 47 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk di Taman Sri Pulai Perdana, di sini, dengan 164 kontak sedang menunggu keputusan saringan yang dijalankan, Ahad lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, dilaporkan berkata, ia sekali gus menyebabkan tercetusnya satu kluster baharu iaitu Kluster Pulai Perdana Tiga.

Katanya, kluster itu dikesan hasil saringan bersasar yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru (PKDJB), 6 Januari lalu, berikutan terdapat beberapa jemaah masjid yang positif selepas melakukan saringan kendiri.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close