MalaysiaTech

Negara perlu terokai pertahanan berasas teknologi satelit

KUALA LUMPUR: Sistem pertahanan negara yang berpandukan teknologi satelit pada masa hadapan perlu diteroka dalam unjuran selamat dan mengadaptasi kepakaran tempatan.

Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan Angkata Tentera Malaysia (ATM), Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin, berkata sistem pertahanan termasuk aset persenjataan milik negara perlu dibangunkan secara selamat dengan menepati komitmen sejagat yang aman.

Katanya, penggunaan teknologi satelit dalam sistem pertahanan juga adalah penting untuk diterokai memandangkan banyak negara khususnya kuasa-kuasa besar dunia sedang bergerak ke arah itu.

“Sekiranya dilihat dalam perspektif analisis pertahanan dunia, berlakunya peningkatan keupayaan persenjataan. Sejauh mana ia dilaksanakan (termasuk penggunaan senjata satelit), kita tidak arif, memandangkan semua pihak bercerita mengenai sejagat yang aman.

“Tetapi ia sudah tentu diperhatikan oleh badan-badan dunia yang lain dan kita sebagai sebuah negara yang maju, penting untuk menggunakan teknologi satelit yang selamat, termasuklah dalam tindakan penyaluran maklumat dan sistem keselamatan.

“Untuk itu, kita mahu teknologi yang digunakan itu bergantung kepada teknologi dan kepakaran buatan sendiri,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya mengenai langkah kuasa besar dunia khususnya China yang dikhuatiri memajukan teknologi persenjataan mereka dengan menggunakan satelit.

Shamsuddin sebelum itu hadir pada program Hari Kesedaran Satelit Kompleks Haigate ATM.

Yang turut hadir Ketua Staf Markas ATM ke-19, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Lepas Malaysia (MYSA), Adnan Ismail.

Mengulas lanjut, Shamsuddin berkata, dalam usaha untuk ATM bergerak ke arah itu, mereka akan memberi input kepada MYSA untuk diberi perhatian dalam Dasar Angkasa Negara 20230 (DAN 2030).

“ATM akan menyokong usaha MYSA dalam memperkenalkan teknologi berasaskan satelit yang baharu dalam sistem pertahanan negara, malah kita yakin, agensi itu juga sudah bergerak ke arah itu.

“Kita sendiri mempunyai wakil dalam agensi itu dan akan memberi input ATM untuk diberi perhatian dan dibawa ke dalam DAN 2030,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan, Arman Rumaizi berkata, hasrat ATM dalam penganjuran Hari Satelit adalah untuk mewujudkan platform bagi komuniti pakar satelit yang lebih kukuh selain menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan industri satelit, yang membabitkan kumpulan kerajaan, swasta, pemain industri dan pakar akademik.

“Dengan menggerakkan sinergi ini, kita mahu berkongsi idea-idea baharu, fokus kajian dan kemajuan teknologi serta menangani isu berkaitan keselamatan satelit, yang boleh digunakan untuk kedaulatan negara.

“Kita yakin, perspektif baharu yang muncul menerusi program ini akan memberi kepentingan bukan sahaja dari segi kesedaran malah secara holistik serta input global dalam dunia satelit,” katanya.

Beliau berkata, teknologi satelit hari ini juga berevolusi dengan pantas dan tidak hanya digunakan dalam perkhidmatan sahaja sebaliknya ia mempunyai kelebihan dalam bidang kecerdasan, amaran awal, peninjauan serta keselamatan.

“Oleh demikian, penting untuk kita memastikan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan masyarakat negara dimanfaatkan melalui eksplorasi teknologi satelit,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close