‘Tak ada sesiapa untung bila bergaduh sesama kita’ – Anwar

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada mana-mana pihak akan beroleh keuntungan jika termakan hasutan pemimpin politik tertentu supaya masyarakat berbilang kaum di negara ini saling bertelagah dan bergaduh.
Tanpa merujuk mana-mana pihak, Perdana Menteri berkata, mereka yang berada di atas hanya menyuruh supaya pergaduhan antara kaum dicetuskan, namun mangsa yang melaksanakan pergaduhan itu adalah rakyat atau mereka yang berada di bawah.
“Balik-balik dia suruh bergaduh Melayu-Cina-India. Saya tegaskan bila kita bergaduh antara sesama kita apa yang untung?
“Rakyat tak untung sebab yang bergaduh adalah orang di bawah. Yang suruh gaduh pula siapa? Orang politik di atas,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin sempena Program Sambutan Hari Festival Ponggal di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Klebang, Chemor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan rakyat khususnya golongan susah, ketika mereka sudah mempunyai kuasa dan kedudukan.
Ahli Parlimen Tambun itu turut mendedahkan beliau terinspirasi dengan lagu Tamil kegemarannya iaitu Naan Aanaiyittal yang dinyanyikan artis terkenal India, MG Ramachandran atau lebih dikenali MGR, dengan berkata lagu itu mengajarnya agar tidak lupa tanggungjawab terhadap rakyat.https://a2d8adc63d3231aa00e270f4bece10bd.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-40/html/container.html
“Saya selalu ingatkan kawan-kawan kalau ada kuasa, gunakan untuk rakyat,” katanya yang turut mengingatkan pemimpin supaya kuasa kedudukan itu digunakan bagi kebaikan rakyat tanpa mengira kaum.

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berkata sepanjang tempoh sebulan setengah lalu beliau melihat pelabur asing termasuk termasuk dari China, India, Amerika Syarikat (AS) serta Eropah sudah menunjukkan minat melabur di negara ini.
“Ia untuk apa jika bukan untuk menyelamatkan rakyat, memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang baik,” katanya.
Mengenai festival Ponggal pula, Perdana Menteri berkata upacara dikaitkan dengan kaum tidak seharusnya dikaitkan dengan upacara agama kerana kelak akan mewujudkan jurang untuk kaum lain turut sama meraikannya.
“Sebab itu saya minta kawan-kawan yang Melayu pun datang meraikan (kerana) ini (Ponggal) bukan upacara agama sahaja, sebaliknya pesta menuai yang kalau di negara India saya sudah melihat upacara ini turut disambut bersama baik oleh masyarakat Hindu mahupun Muslim.
“Saya datang, hadir ke sini untuk bersama menghormati dengan meraikan budaya pesta menuai masyarakat India ini. Orang Melayu pun harus faham.
“Namun sebagaimana kita tahu masalah ini akan terus berbangkit, tetapi percayalah Malaysia mesti ubah daripada cara lama,” katanya.