NGO perlu bantu sebar maklumat isu keganasan rumah tangga

PUTRAJAYA: Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diharap berperanan secara proaktif dalam menyebar maklumat berhubung isu keganasan rumah tangga kepada wanita luar bandar, terutama soal berkaitan perundangan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata maklumat terkini berhubung perkara itu perlu sentiasa disalurkan tanpa mengira lapisan masyarakat dan latar belakang mereka.
“Hari ini kita dapat tahu banyak NGO hadir, jadi kita harap mereka dapat sebarkan maklumat mengenai isu keganasan rumah tangga.
“Kita perlukan pembabitan NGO kerana mereka akan membantu termasuk di luar bandar. Kita mengharapkan NGO keluar menyebarkan maklumat ini kepada semua wanita.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKP) bukan sahaja memberi kursus tetapi turut membantu dari sudut ekonomi bagi mereka yang pernah menjadi mangsa keganasan, beri modal yang tak begitu besar tapi sekurang-kurangnya boleh memulakan perniagaan.
“Itu juga antara cara mereka kembali meningkatkan keyakinan diri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Nancy merasmikan program Meningkatkan Daya Tahan dan Psikologi Wanita (MATAHARI) dan Literasi Perundangan dan Hak Wanita (IRIS).
Beliau berkata, sebanyak 506 kes keganasan rumah tangga dilaporkan menerusi Talian Kasih sepanjang tahun lalu, berkurangan berbanding 974 kes pada 2021.
Mengulas program hari ini, Nancy berkata, MATAHARI adalah usaha meningkatkan kesejahteraan kendiri melalui strategi psikologi, pemikiran positif bagi memastikan emosi stabil dalam kalangan wanita.
“Program ini diilhamkan dengan mengambil kira penemuan yang menunjukkan kepentingan pengurusan isu kesihatan mental wanita dan peningkatan tahap tekanan, termasuk susulan impak pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, IRIS memfokuskan kepada elemen pemahaman perihal penganiayaan terhadap wanita dari segi perundangan.
“IRIS berfungsi menyampaikan ilmu mengenai hak individu dari aspek perundangan, saluran aduan dan bantuan disediakan kepada mangsa keganasan dan diskriminasi,” katanya.