MalaysiaSetempat

APM mohon tambah perjawatan kontrak

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memohon kerajaan mempertimbangkan penambahan 1,501 jawatan kontrak di seluruh negara bagi melengkapkan keperluan penugasan agensi berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed, berkata ketika ini, agensi itu mempunyai kekuatan kira-kira 10,500 anggota termasuk sukarelawan.

Beliau berkata, penambahan itu perlu dibuat kerana rakyat negara ini memiliki pengetahuan yang luas dan berjiwa besar untuk menjadi anggota APM.

“APM memiliki seksyen yang membenarkan bantuan pegawai APM seperti pegawai kehormat, bersekutu dan sukarelawan membantu operasi menyelamat,” katanya kepada BERNAMA pada Majlis Perpaduan Sambutan Tahun Baharu Cina Dekad Platinum APM 2023 di Pejabat APM Kuala Lumpur di sini, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, APM telah menyerahkan laporan penuh penugasan pegawai dan anggota dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.

Katanya, laporan berkenaan merangkumi nisbah atur gerak komponen APM ketika insiden untuk semakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Aminurrahim berkata, ketika insiden tanah runtuh itu, APM mengatur gerak anggota penyelamat mengikut nisbah keanggotaan yang terkandung dalam Dokumen Dekad Platinum Pertahanan Awam (DPPA) 2022-2032.

Menurutnya, nisbah itu membabitkan seorang pegawai tetap, dua pegawai bersekutu dan 60 komuniti.

“Semakan itu akan menentukan kos pengoperasian yang dapat dijimatkan kerajaan berbanding mengerahkan pegawai dan anggota berjawatan tetap,” katanya.

DPPA 2022-2032 yang dilancarkan pada 12 Oktober tahun lalu, mampu memacu hala tuju APM dalam tempoh 10 tahun akan datang.

DPPA diperkenalkan bagi memperkukuh perkhidmatan APM.

Tragedi tanah runtuh pada jam 2.42 pagi, 16 Disember tahun lalu di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, mengorbankan 31 nyawa manakala 61 mangsa selamat. – BERNAMA

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close