
GUA MUSANG: Lebih 4,000 penduduk Orang Asli di 18 buah kampung di Pos Brooke di sini berharap usaha pewartaan tanah Pembangunan Sosioekonomi Komuniti (PSK) di perkampungan mereka dapat dilakukan oleh pihak berwajib secepat mungkin.
Penduduk Orang Asli mendakwa kawasan perkampungan yang dihuni sejak turun-temurun itu sering terdedah dengan kegiatan pembukaan tanah kebun sayur sehingga menjejaskan kehidupan selain penempatan mereka semakin mengecil.
Sehubungan itu, Penghulu Kampung Jekjok, Jubir Sekmo berkata, pihaknya menghantar permohonan gazet sempadan tanah Orang Asli kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada 6 Oktober 2020.
Namun, katanya, sehingga kini, tiada maklum balas diterima setelah hampir tiga tahun permohonan dikemukakan mereka.
“Orang Asli di Lojing ini tidak ada satu pun tanah yang diiktiraf oleh kerajaan negeri. Saya nak minta perhatian dari kerajaan negeri supaya buka mata dan mereka mendengar keluhan. Kami berdepan bermacam risiko terutamanya bencana alam, tadahan air dan tanaman kita habis dimusnahkan oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab.
“Kami minta kerajaan negeri gazetkan sempadan tanah Orang Asli dengan syarikat-syarikat ini supaya kehidupan kami yang akan datang terjamin sehingga ke anak cucu kami,” katanya kepada pemberita di Pos Brooke di sini hari ini.
Sementara itu, Penghulu Kampung Jedip, Nasir Busu pula berkata, isu penerokaan tanah berlarutan sejak tahun 2000 lalu.
Katanya, pada awalnya, ia hanya membabitkan tanaman pokok durian mereka yang dimusnahkan bagi tujuan pembukaan tanah serta mereka dijanjikan penempatan baharu.
“Masalah utama ada empat perkara iaitu masalah tanah, kubur, kawasan tadahan air dan penempatan.
“Empat perkara ini kerajaan negeri kena ambil peka adalah tentang apa yang dihadapi penduduk Orang Asli selama ini. Bermula pada tahun 2000 sehingga, sekarang tak selesai masalah yang kami Orang Asli mohon dahulu,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Brooke, Murad Mat pula berkata, penduduk Orang Asli tidak mendapat sebarang notis awal berkenaan pembukaan tanah di kawasan mereka.
Katanya, mereka hanya mengetahui projek diluluskan dan akan dilaksanakan di penempatan itu sehingga mereka tidak boleh membuat bantahan.
“Kepada siapa kami hendak tujukan masalah ini? Apabila kami ajukan soalan ini kepada pihak berkuasa tempatan mereka memaklumkan projek berkenaan tidak mungkin dibatalkan sebab dah diluluskan di peringkat kerajaan negeri.
“Kami penduduk Orang Asli di kawasan ini seolah-olah tidak ada hak langsung untuk mempertahankan kuasa yang kami ada ataupun hak milik tanah yang kami diami sejak turun-temurun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan Bidi Ronggeng berkata, sebelum ini pihaknya bersama Orang Asli menghantar beberapa memorandum berkenaan perkara tersebut kepada kerajaan negeri.
“Kami mengharapkan kerjasama pihak terlibat untuk menyelesaikan isu-isu tanah di perkampungan terbabit yang tidak berkesudahan.
“Kita mengharapkan kerjasama baik ini dapat membantu serta melindungi masyarakat Orang Asli yang terlibat dengan aktiviti pembangunan setiap tahun,” katanya.-UTUSAN