REE memang ada unsur uranium, thorium beradiasi – Penyelidik

“LANTHANUM, cerium, praseodymium, neodymium, promethium, samarium, europium, gadolinium, terbium, dysprosium, holmium, erbium, thulium, ytterbium, lutetium, scandium, yttrium”.
Kedengaran seperti ayat sihir yang dibacakan dalam filem fiksyen Harry Potter bagaimanapun semua itu adalah nama untuk 17 logam utama unsur nadir bumi (REE) yang menjadi rebutan dunia sejak 10 tahun lalu.
Setiap satu daripada logam itu digunakan dalam hampir semua pembuatan peralatan komunikasi, hiburan, ketenteraan hinggalah senjata.
Neodymium, samarium, dysprosium dan terbium misalnya digunakan bagi pembuatan magnet kekal padat dan kuat untuk kawalan motor elektrik dan akuator dalam peluru berpandu, bom pintar dan pesawat tanpa pemandu.
Yttrium, europium dan terbium pula digunakan sebagai penguatan tenaga dan resolusi peralatan laser ketenteraan
Neodymium juga banyak digunakan dalam pembuatan magnet berkuasa yang terdapat dalam pelbagai jenis produk telekomunikasi seperti headphone, pemacu keras komputer hinggalah turbin angin dan kenderaan elektrik.
Europium pula sebagai salutan pendarfluor pada skrin televisyen, komputer dan telefon.
Dalam sebuah kereta hibrid generator dan elektrik banyak unsur seperti praseodymium, dysprosium dan terbium digunakan manakala pembuatan bateri boleh cas semula menggunakan logam lanthanum dan cerium.
Penggunaan yang meluas dengan bahan yang terhad menyebabkan setiap logam REE bernilai tinggi.
Terbium misalnya boleh dijual sehingga RM2.5 juta bagi setiap tan metrik (MT) dan dysprosium (RM1.1 juta.
Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 menganggarkan nilai sumber nadir bumi negara adalah sekitar RM800 bilion.
Sudah tentu setiap yang bernilai datang dengan risiko yang besar begitu juga dengan REE yang dikatakan mengandungi unsur radioaktif seperti uranium dan thorium.
Ia juga menjadi sasaran sindiket melombong bahan ini secara haram tanpa menghiraukan kesan ke atas manusia dan alam sekitar.

Tragedi perlombongan REE
Mungkin ramai yang menggambarkan REE seolah-olah satu objek berbentuk pejal seperti timah, emas dan tembaga. Pada hakikatnya REE adalah unsur sebatian yang terlerai dan terpisah seperti debu dan pasir.
Hanya dengan proses kimia mengunakan makmal dan fasiliti yang canggih serta selamat logam-logam ini boleh dipisah untuk digunakan dalam pembuatan barangan.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Geologi Fakulti Sains Universiti Malaya Prof Dr. Azman Abdul Ghani terdapat dua sumber REE di Malaysia. Pertama daripada batuan dan tanah granit yang meliputi 60 peratus tanah di Semenanjung Malaysia.
Sumber kedua daripada sisa bijih timah yang dikenali sebagai amang seperti yang pernah dilombong di Bukit Merah, Perak pada tahun 1980an. Bahan ini masih banyak di kawasan-bekas lombong bijih timah yang pernah menjadi eksport utama negara satu ketika dahulu.
Setiap kali perlombongan REE dibincang tragedi yang berlaku di Bukit Merah akan terlintas dalam fikiran.
Kawasan lombong itu terpaksa ditutup selepas terdapat pekerja dan penduduk mengalami kanser dan kematian secara serentak. Malah dilaporkan ada anak-anak di kawasan terbabit mengalami kecacatan walaupun selepas bertahun-tahun kawasan itu ditutup.
“Bekas lombong timah di pantai barat masih banyak amang ini. (Dahulu) amang ini kita buang begitu sahaja (selepas timah dilombong).
“Logam REE sangat banyak di kawasan ini dan ia juga sangat radioaktif. Perlombongan ini diabaikan kerana ia menyebabkan radiasi yang amat bahaya kepada manusia, sumber air dan kehidupan,” jelas beliau.

Azman yang melakukan kajian mengenai REE sejak 28 tahun lalu berkata, selain 17 logam REE di tanah granit, logam radioaktif zircon dan mongolite turut ditemui di kawasan bekas lombong bijih timah.
Perlombongan REE di kawasan bijih timah telah dihentikan dan ketika ini tumpuan hanya di tanah granit.
Azman berkata, REE dibahagi kepada dua kumpulan mengikut berat logam itu iaitu ringan (LREE) serta berat (HREE) dan logam ini mengambil masa ribuan tahun untuk dihasilkan
Pencemaran radiasi
Seperti yang dikatakan, kebimbangan masyarakat mengenai perlombongan REE adalah mengenai sama ada logam yang dilombong bersifat radioaktif hingga boleh menyebabkan pelbagai penyakit terutama kanser seperti yang berlaku di Bukit Merah.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Shahrul Nizam Ahmad menjelaskan daripada 17 logam REE promethium merupakan unsur yang mempunyai bacaan radiasi paling tinggi.
Namun walaupun bacaan radiasi pada promethium adalah tertinggi berbanding lain ia tidak memberikan ancaman radiologi kerana berada pada kadar amat lemah.
“Radioaktif ini secara umum ada pada semua bahan dan kita lihat berapa banyak nilai dia. Buah pisang pun menggeluarkan radiasi tapi tak bahaya.
“Walau bagaimanapun promethium ini bukan apabila dikorek dari dalam tanah terus ada radiasi. Ia perlu menjalani proses nuclear fusion sebelum menjadi radioaktif,” jelas beliau.
Shahrul Nizam tidak menafikan REE sama ada di luar negara mahupun di Malaysia mempunyai unsur uranium dan thorium yang bersifat radioaktif dan beradiasi.
Jelas beliau, secara umum logam REE tidak akan dijumpai secara ‘sendirian’ tetapi bergabung dengan unsur lain.
“Radiasi boleh ada dengan unsur lain tambahan logam ‘suka’ bercantum dengan uranium. Bila kita lombong bahan ini tak akan hanya dapat ‘sirium-sirium’ sahaja tetapi mungkin akan ditemui bergabung dengan unsur lain termask uranium dan thorium untuk menjadi stabil.
“Semua unsur dalam bumi tidak stabil jika ‘berdiri’ sendiri umpama orang yang hidup bersendirian emosinya kurang stabil berbanding orang yang berpasangan,” terang beliau memberi analogi.

Bagaimanapun katanya, sama ada unsur radioaktif ini bahaya atau tidak bergantung kepada berapa banyak jumlah yang dilombong. Semakin besar dan luas kawasan perlombongan kemungkinan lebih banyak radiasi yang akan terdedah.
Katanya, ujikaji perlu dilakukan dengan teliti untuk mengetahui kadar uranium atau thorium dan ada cara pengiraan yang hanya boleh dilakukan oleh pakar geokimia dan pakar geologi.
Azhar dan Shahrul Nizam mempunyai pandangan yang sama bahawa untuk membuka kawasan perlombongan REE memerlukan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,
Ini termasuk penyediaan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan laporan penilaian impak radiologi (RIA) daripada pihak berkuasa berkaitan.
Mereka turut mempunyai pandangan yang sama bahawa perlombongan haram REE boleh mengancam kesihatan manusia dan kelestarian alam sekitar. – MalaysiaGazette