
Para penyokong tegar Gunaraj merayu supaya jawatan Exco diberikan kepada calon PKR.
SHAH ALAM – Beberapa penyokong dan pemimpin PKR tampil melahirkan harapan supaya Exco Selangor dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR berketurunan India bagi mewakili suara komuniti tersebut.
Sejak dua penggal kebelakangan ini, jawatan Exco hanya diberikan kepada wakil India DAP walaupun ada calon PKR yang menang di Selangor.
Menurut Ketua Penerangan Cabang Kota Raja, Roy S Nyaneswaran, parti itu banyak mendapat sokongan tidak berbelah bahagi dalam kalangan masyarakat India setiap kali pilihan raya dengan harapan ada wakil mewakili suara serta perjuangan mereka.
Kata Roy, sebelum ini ketika kali pertama kerajaan negeri dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) memang ada wakil PKR India yang diberikan jawatan Exco dengan perhatian dan fokus khusus telah diberikan untuk menangani isu-isu berkaitan kaum itu pada 2008.
“Selepas itu, kita tidak ada wakil India mewakili PKR lagi. Kita merayu dan berharap Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi pertimbangan sewajarnya.
“Sepatutnya pada tahun ini, kita diberikan jaminan jawatan ini diserahkan kepada PKR semula, bagaimanapun sumber baru-baru ini memberitahu janji ini mungkin tidak dipenuhi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

MalaysiaGazette dalam laporan semalam yang memetik sumber tertinggi parti mendedahkan seorang wakil India yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor akan diberikan jawatan Exco dan ia dipercayai akan diberikan kepada calon DAP, Papparaidu Veraman (ADUN Banting).
Kata Roy, gabungan PH diyakini dapat mengembalikan semula jawatan itu kepada ADUN PKR dalam kalangan kaum India.