
BACHOK: Dua beranak antara tiga nelayan yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas mereka keluar menangkap ikan di Perairan Kemasin.
Mereka terbabit iaitu Rohaimi Ahmad,47, dan anaknya, Nik Muhammad Syafiqrullah, 21, serta rakan anaknya, Muhammad Amir Zulfikar Che Wil, 29, dikatakan keluar ke laut pada jam 3 pagi semalam menggunakan perahu menantu Rohaimi, Raja Muhammad Shamsul Amir, 31.
Anak Rohaimi, Nik Nur Shahira, 17, berkata bapa dan abangnya serta rakan abangnya menaiki perahu sekuchi milik suaminya dan sepatutnya pulang semula pada jam 12 tengah hari semalam, namun mereka gagal berbuat demikian.
“Kami cuba hubungi mereka tetapi tidak berjaya, kami juga tunggu hingga petang, namun mereka tetap tak balik.
“Suami saya keluar mencari namun tidak menemui mereka, jadi kami membuat laporan polis pada jam 10 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kemasin, di sini, hari ini.
Shahira berkata, kali terakhir, dua panggilan mereka berjaya masuk ke nombor telefon bimbit Muhammad Amir namun tidak diangkat.
“Biasanya mereka pergi menangkap ikan tidak jauh dan kami masih boleh berhubung, tetapi kali ini mereka tak dapat menjejaki mereka,” katanya yang menunggu di jeti bersama ibunya, Nik Suliana Bikri Kama, 41.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Bachok, Saripudin Ishak pula berkata, mengikut maklumat nelayan lain, ketiga-tiga mangsa turun ke laut di kawasan ‘Ujang Geleng’ kira-kira 26 kilometer dari Jeti Kuala Kemasin.
Katanya, keadaan cuaca semalam agak berjerebu dan berisiko kepada bot kecil.
Sementara itu, operasi menyelamat dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain dengan membuka pusat operasi sejak jam 9 pagi tadi.
Ketua Operasi Maritim Malaysia, Leftenan Maritim Ishak Rahmat berkata, enam anggota di darat dan lapan anggota di laut terbabit dalam operasi itu menggunakan satu bot Perkasa 1233 di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).