Sukan

Malaysia naib juara Kejohanan Ragbi 7s B-20 Asia

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) bawah 20 tahun (B-20) negara, Syed Shazril Syed Mahadzir optimis Malaysia akan kembali menakluki pentas Asia bagi kategori itu pada masa akan datang.

Semalam, anak buah Syed Shazril terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Kejohanan Ragbi 7s B-20 Asia selepas tewas di tangan Hong Kong 14-19 pada aksi final yang berlangsung di Kathmandu, Nepal.

“Semua pemain sudah memberikan yang terbaik menerusi latihan yang dijalankan. Persiapan awal menentang pasukan Bunga Raya 7s dan Singapura 7s memang ada beri impak kepada pemain.

“Kita bermula agak perlahan selepas tewas perlawanan pertama di tangan Hong Kong tetapi berjaya bangkit dan seterusnya mara ke separuh akhir dan final untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu.

“Sudah tentu kita mahu menempa sejarah bagi skuad B-20 7s kebangsaan, tetapi kena tunggu sedikit masa lagi. Jika kena dengan pendedahan antarabangsa yang diperlukan pasukan, tiada yang mustahil,” kata Syed Shazril.

Syed Shazril berharap Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) akan terus diberi kepercayaan oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi kejohanan pada edisi seterusnya.

“Pasukan ini hanya dibarisi oleh tiga pemain B-20, enam pemain B-19 dan pemain B-18. Untuk 2024, jika SSTMI masih diberi kepercayaan oleh KRM untuk kendalikan pasukan, kita akan terus masuk kejohanan-kejohanan tempatan dengan skuad B-19 yang ada bagi persiapan masa akan datang,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah mendominasi pentas Asia menerusi gelaran juara pada edisi 2011 dan 2012.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close