MalaysiaSetempat

Sambutan Hari Sabah 31 Ogos

KOTA KINABALU: Hari Sabah yang menandakan hari kemerdekaan negeri ini daripada penjajahan British 60 tahun lalu akan disambut buat julung kalinya pada 31 Ogos ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam satu kenyataan hari ini, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Kabinet negeri minggu lalu.

Katanya, daerah Tambunan dipilih sebagai lokasi sambutan sulung itu dan akan digilirkan di setiap daerah seterusnya selepas ini.

“Kerajaan Negeri turut memutuskan sambutan yang menandakan sejarah penting Sabah itu diadakan pada setiap tahun dengan menggilirkan lokasi sambutan di setiap daerah.

“Marilah kita memperingati hari yang menandakan berakhirnya pemerintahan British di Sabah dan bermulanya perjalanan kita bersama untuk berpemerintahan sendiri,” katanya.

Berdasarkan laporan sejarah, Sabah diberi kebebasan oleh British untuk berpemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963.

Tarikh berkenaan serentak dengan ulang tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang keenam, selepas merdeka daripada British pada 31 Ogos 1957.

Selepas itu, Sabah kemudian sama-sama membentuk persekutuan Malaysia dengan Tanah Melayu, Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963.

Hajiji berkata, sambutan di Tambunan bermula pada jam 3 petang selepas sambutan Hari Kebangsaan di Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Sarawak turut mengisytiharkan hari kemerdekaannya pada setiap 22 Julai.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close