JenayahMalaysia

Gagal dapat rokok, penagih dadah bakar rumah pusaka

KEPALA BATAS: Seorang penagih dadah membakar rumah pusaka dua tingkat didiami bersama ahli keluarganya di Pokok Sena, di sini malam tadi kerana tidak diberikan rokok.

Suspek berusia 47 tahun itu dikatakan mengamuk kira-kira jam 9 malam selepas adik lelakinya tidak mahu memberikan rokok dimintanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Assisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata adik kemudian ke Balai Polis Kepala Batas untuk membuat laporan berikutan tidak tahan dengan amukan abangnya.

Bagaimanapun katanya, ketika dalam perjalanan ke balai polis adik suspek mendapat panggilan rumah mereka terbakar.

“Jiran yang tinggal berdekatan menghubungi adik suspek dan memberitahu suspek membakar rumah dan berjaya menangkap suspek.

“Rumah itu didiami suspek, ibu dan adik namun ketika kejadian ibu suspek tiada di rumah kerana pergi melawat anak perempuannya di Balik Pulau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata rumah dua tingkat yang didiami suspek dan ahli keluarganya mempunyai lima bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur.

“Bahagian atas rumah terbabit adalah kayu dan bawah pula simen. Kebakaran itu menyebabkan semua harta dalam rumah terbabit musnah termasuk empat motosikal lama yang sudah tidak digunakan.

“Rumah jiran berhampiran turut mengalami kebakaran namun mujur hanya di bahagian dinding dapur sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, berdasarkan pengakuan awal suspek mengaku membakar langsir dengan menggunakan pemetik api di bilik tidurnya sehingga api marak dan membakar keseluruhan rumah.

“Hasil ujian air kencing suspek mendapati positif dadah,” katanya.

Suspek yang mempunyai 14 rekod lampau itu kemudian ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close