
TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah, menggagalkan cubaan menyeludup masuk 384,000 rokok kretek di kawasan persisiran Pantai Cowie Bay, Batu 2 Jalan Apas, dekat sini, Selasa lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam, Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, berkata kesemua rokok kretek pelbagai jenama disyaki barangan larangan kastam dianggarkan bernilai RM76,800.00 dengan jumlah cukai bernilai RM261,120.00.
Beliau berkata, rampasan dilakukan susulan maklumat dan risikan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Tawau, kira-kira 9.15 malam.
“Hasil pemeriksaan di kawasan pesisir pantai berkenaan telah mengesan longgokan kotak dalam keadaan yang mencurigakan ditinggalkan di kawasan terbabit.
“Setelah diperiksa di dalam kotak terbabit mengandungi rokok kretek pelbagai jenama disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran untuk dipasarkan di daerah ini,” katanya pada sidang media di sini, pagi ini.
Mohd Nasir berkata, pihaknya masih mengesan pemilik barang berkenaan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.