
KUALA LUMPUR: KL City FC menerima ucapan terima kasih daripada pengendali Perak FC, Yusri Che Lah selepas anak buahnya tumbang 0-4 di tangan skuad ‘Warga Kota’ pada aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Yusri beranggapan kekalahan itu menunjukkan masih banyak kelemahan yang terdapat dalam pasukan terbabit sekali gus bakal membantu mereka memperbaiki kekurangan yang ada untuk tampil dengan aksi lebih baik selepas ini.
“KL City FC memberi gambaran jelas mengenai di mana tahap sebenar kita. Sukar untuk menerima keputusan seperti ini tetapi kita bersyukur kerana banyak kelemahan yang kita dapati.
“Kita mengharapkan sesuatu yang berlainan dan pemain dapat beraksi seperti dalam beberapa aksi terdahulu tetapi ia serba tidak menjadi. Saya mengambil tanggungjawab atas kekalahan ini.

“Saya harap pemain tidak terus tunduk dan harus bekerja keras kerana kita akan terus mencuba dalam baki perlawanan seterusnya,” kata Yusri.
Sebagai rekod, keputusan itu menyaksikan skuad ‘The Bos Gaurus’ tewas dua kali berturut-turut dengan agregat 9-0 selepas mereka dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-0 dalam perlawanan terakhir.
Ketinggalan menerusi jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-30, tuan rumah tidak mempunyai jawapan untuk menyekat pelawat yang menambah tiga gol selepas rehat menerusi Sebastian Avanzini (m46), Paulo Josue (m55) dan Sean Gianelli (m87).
Dalam perkembangan sama, Yusri juga mengakui dia tidak boleh menganggap anak buahnya menunjukkan persembahan yang baik apatah lagi mereka beraksi di bawah tahap sebenar.
“Kita tidak beraksi seperti yang sudah dirancang dan mereka harus terima hakikat ini. Jadi kita perlu bangkit untuk perlawanan selepas ini,” katanya.