Kanak-kanak Ukraine ketinggalan akibat serangan ke atas sekolah

GENEVA: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) hari ini, memberitahu serangan berterusan ke atas sekolah di Ukraine menyebabkan hanya kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak menghadiri kelas sepenuhnya.
Peperangan itu juga menyebabkan ramai pelajar ketinggalan.
Di luar Ukraine, lebih separuh daripada kanak-kanak yang melarikan diri daripada konflik ke tujuh negara tidak didaftarkan dalam sistem pendidikan kebangsaan.
Menurut UNICEF, perkara itu disebabkan halangan bahasa dan tekanan sistem pendidikan.
Beberapa sekolah mengalami serangan langsung, manakala yang lain ditutup sebagai langkah berjaga-jaga sejak pencerobohan Russia 18 bulan lalu.
Ia membabitkan serangan peluru berpandu dan artileri ke atas kawasan kediaman di seluruh negara.
“Di Ukraine, serangan ke atas sekolah berterusan tanpa henti, menyebabkan kanak-kanak sangat tertekan dan tiada ruang selamat untuk belajar,” kata badan itu.
Peperangan yang tercetus selepas berlakunya pandemik COVID-19, bermakna beberapa kanak-kanak di Ukraine menghadapi gangguan tahun persekolahan selama keempat berturut-turut apabila mereka kembali ke kelas minggu ini selepas cuti musim panas.
Pengarah Serantau UNICEF untuk Eropah dan Asia Tengah, Regina De Dominicis, berkata keadaan itu bukan sahaja menyebabkan kanak-kanak Ukraine bergelut untuk maju dalam pendidikan, tetapi mereka juga bergelut untuk mengekalkan apa yang dipelajari apabila sekolah berfungsi sepenuhnya.
“Kira-kira separuh daripada guru Ukraine melaporkan kemerosotan dalam kebolehan pelajar membabitkan bahasa, membaca dan matematik,” katanya. – REUTERS