
SEREMBAN: Mahkamah Majistret Seremban, hari ini menjatuhi dua wanita dengan hukuman penjara selama setahun atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki bagi urusan mendapat anak angkat sehingga menyebabkan mangsa kerugian hampir RM8,000, Julai lalu.
Tertuduh, G Gayathree, 32, dan Aliyah Begum Selvam, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama didapati dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 37 tahun bagi mendapatkan wang dengan menawarkan urusan pengambilan anak angkat dengan meminta mangsa membuat pembayaran tujuh kali transaksi sebanyak RM7,900 ke satu akaun seorang wanita.
Mangsa tidak akan membuat transaksi wang itu sekiranya tidak diperdaya oleh tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ara Sendayan 1/3, Taman Ara Sendayan, di sini, 15 Julai lalu.
Oleh itu, kedua-dua tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Hukuman mengikut Seksyen 420 Kanun boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta hendaklah dikenakan denda.