
SEGAMAT: “Arwah minta bergambar beramai-ramai buat kenang-kenangan sambil berseloroh mana tahu seorang daripada kita pergi dulu.
“Itulah gambar terakhir kami empat beradik dan semalam, dia sekeluarga pergi buat selamanya,” kata Norhayati Noor Muhamad, 51, kakak kepada Norahimah, mangsa kemalangan enam sekeluarga yang maut dalam nahas lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini semalam.
Norhayati berkata, Norahimah adalah anak ketiga daripada empat adik beradik.
Beliau yang juga guru agama itu berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan keluarga arwah adiknya itu pada Ahad minggu lalu ketika majlis perkahwinan adik bongsu mereka, Norahila, 36, di rumah ibu mereka di Parit Jawa, Muar dekat sini.
Pada majlis itu, beliau berkata, Noorahimah sempat berseloroh untuk mengambil gambar kenang-kenangan sebelum seorang daripada mereka meninggal dunia.
“Saya anak kedua dan Noorahimah rapat dengan adik bongsu (Noorahila), semasa kenduri hari itu, arwah minta bergambar beramai-ramai, dia cakap mana tahu seorang daripada kita pergi dahulu boleh buat kenang-kenangan,” katanya katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Daerah Segamat di sini hari ini.
Norhayati berkata, Noorahimah adalah seorang adik yang ceria dan periang serta ibu yang tegas.
“Sebelum dia pergi, tidak ada apa-apa tanda yang pelik berlaku, dia seorang yang ‘happy go lucky’, nak kata garang tidak cuma dia seorang ibu yang tegas,” katanya.
Nohayati juga berkata, adik iparnya, Amir Ruddin Ismail, 46, bersama isteri serta tujuh anaknya dalam perjalanan dari Ladang Tereh Utara, Kluang untuk menghantar Noorahimah (isteri mangsa) ke pulang ke rumah di FELDA Kemedak.
Beliau berkata, Noorahimah juga seorang guru agama di Sekolah Agama FELDA Kemedak di sini.
Polis mengesahkan enam beranak maut dalam kemalangan di kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, di sini, semalam.
Mangsa dikenal pasti Amir Ruddin serta isterinya Norahimah, serta anak Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5.