
MUAR: Suasana sedih memenuhi segenap ruang Masjid Ubuddiah, Parit Limbong di sini, petang ini ketika solat jenazah pasangan suami isteri dan empat anak mereka yang maut dalam nahas di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat, petang semalam.
Solat jenazah diimamkan oleh Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, anak sulung kepada pasangan Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43.
Terdahulu, deraian air mata menyambut ketibaan enam jenazah yang tiba di masjid berkenaan pada jam 2.55 petang dan disambut lebih 1,000 orang merangkumi sanak saudara dan sahabat handai.

Jenazah dibawa masuk ke masjid dan disembahyangkan dengan diimamkan anak sulung
Suasana bertambah pilu apabila Abdur Rahman tidak dapat menahan kesedihan melihat satu persatu jenazah ahli keluarganya dibawa masuk untuk disembahyangkan.
Air mata yang laju menitis di pipi anak sulung pasangan itu menyebabkan suasana sayu seketika.
Dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, empat lagi anak pasangan itu turut maut iaitu Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Nahas berlaku di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, ketika keluarga terbabit dalam perjalanan menghantar Norahimah yang juga guru Sekolah Agama Semedak, ke Segamat.
Amir Ruddin adalah imam di Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang.
Jenazah enam beranak itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Masjid Ubuddiah, Parit Limbong, 4.15 petang tadi.