World

40 terbunuh serangan udara di Sudan

WAD MADANI, SUDAN: Sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh, manakala berpuluh lagi cedera dalam serangan udara di selatan ibu negara Sudan, Khartoum, hari ini.

Berdasarkan semakan, kejadian pagi tadi itu adalah serangan tunggal paling dahsyat dalam perang yang memasuki bulan kelima antara ketua tentera, Abdel Fattah al-Burhan dan bekas timbalannya, Mohamed Hamdan Daglo, yang memerintah Pasukan Sokongan Pantas paramiliter.

Menurut jawatankuasa penentangan tempatan, kira-kira jam 7.15 pagi waktu tempatan, pesawat tentera mengebom kawasan Pasar Qouro.

“Jumlah mangsa pembunuhan beramai-ramai di Pasar Quoro meningkat kepada 40 orang menjelang tengah hari.

“Lebih banyak kematian dijangka kerana mangsa terus bertambah ke hospital Bashair berdekatan,” menurut jawatankuasa yang juga satu daripada kumpulan yang pernah menganjurkan protes pro-demokrasi dan kini memberikan bantuan semasa perang.

Pihak Hospital turut mengeluarkan rayuan segera untuk semua profesional perubatan di kawasan itu supaya datang dan membantu merawat mangsa yang cedera.

Hampir 7,500 orang dilaporkan terbunuh dalam perang yang meletus pada 15 April, menurut anggaran konservatif daripada Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata & Peristiwa.

Angka kematian sebenar diandaikan lebih tinggi dengan kebanyakan mereka yang cedera dan terbunuh tidak pernah sampai ke hospital atau bilik mayat.

Akses ke banyak kawasan sudah terputus sepenuhnya dan pihak yang bertelagah tidak mengisytiharkan kerugian mereka.

Angkatan bersenjata mengawal ruang udara di Khartoum, manakala pejuang RSF terus menguasai jalan-jalan di bandar itu.

Lebih 2.8 juta orang sudah meninggalkan ibu kota Sudan, yang penduduknya sebelum perang adalah sekitar lima juta orang. – AFP

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close