Antony pulang lewat ke Manchester

MANCHESTER, England: Antony tidak akan segera kembali ke Manchester United ketika penyerang Brazil itu terpaksa menangani dakwaan serangan fizikal terhadapnya, umum kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.
“Manchester United menyedari tuduhan yang dilemparkan terhadap Antony,” kata kelab itu dalam satu kenyataan ringkas.
“Pemain yang tidak menyertai perlawanan antarabangsa akan kembali menjalani latihan pada Isnin. Bagaimanapun, sudah dipersetujui dengan Antony dia akan menangguhkan kepulangannya sehingga diberitahu kelak untuk menangani dakwaan itu.”
Antony diketepikan daripada skuad Brazil bagi dua aksi kelayakan Piala Dunia susulan siasatan polis terhadap dakwaan yang dibuat bekas kekasihnya Gabriela Cavallin. Dia menafikan sebarang salah laku.
“Saya sudah bersetuju dengan Manchester United untuk tidak hadir buat sementara waktu ketika saya menangani dakwaan yang dibuat terhadap saya,” tulis pemain itu dalam catatan di Instagram.
“Ini satu keputusan bersama untuk mengelakkan gangguan terhadap rakan sepasukan saya dan kontroversi yang tidak diperlukan untuk kelab.
“Saya ingin mengulangi pendirian saya tidak bersalah terhadap perkara yang dituduh dan saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan polis untuk membantu mereka mencari kebenaran. Saya berharap untuk kembali bermain secepat mungkin.”
Kedua-dua polis Brazil dan polis Greater Manchester sedang menyiasat dakwaan itu.
Dua lagi wanita tampil untuk mendakwa mereka diserang secara fizikal oleh Antony, yang belum ditangkap atau didakwa dan turut menafikan dakwaan itu.
“Sebagai sebuah kelab kami mengecam sebarang tindakan keganasan dan penderaan,” kata Manchester United.
“Kami mengiktiraf kepentingan untuk melindungi semua mereka yang terbabit dalam situasi ini dan mengakui kesan dakwaan ini terhadap mangsa penderaan.”
Brazil memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Bolivia pagi semalam. Mereka berdepan Peru pagi Rabu ini.
United kini menghuni tangga ke-11 EPL dengan enam mata daripada empat perlawanan dan mereka akan melayan kunjungan Brighton Sabtu ini. – REUTERS