MalaysiaPolitic

‘Anwar salah guna kuasa, tolak usul DNAA Zahid dibahas oleh Parlimen’ – PN

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menolak usul membahaskan keputusan lepas tanpa bebas (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, daripada 47 pertuduhan jenayah di Parlimen, jelas melanggar undang-undang dan penyalahgunaan kuasa.

Ketua Whip Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sebagai Ketua Majlis Parlimen, Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kuasa atau hak menentu atau memutuskan berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat jika usul dikemukakan.

Katanya, sebaliknya penerimaan atau penolakan usul sedemikian berada dalam bidang kuasa danbudi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Speaker semata-mata.

“Di sini jelas bahawa Perdana Menteri telah membuat kenyataan yang melampaui bidang kuasa dan peranannya sebagai Ketua Majlis.

“(Tindakan itu) mendahului keputusan yang sepatutnya dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Kelmarin, Anwar berkata, keputusan DNAA oleh mahkamah terhadap Ahmad Zahid susulan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwaan, tidak boleh dibahas pada sidang khas Dewan Rakyat.

Ini kerana, katanya sidang Parlimen tidak boleh ditukar untuk berperanan sebagai sebuah mahkamah dan Peguam Negara bukan ahli parlimen dan menteri.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS dan seorang peguam kanan, berkata dalam isu yang dipertikaikan oleh banyak pihak itu, persoalan subjudis juga tidak timbul kerana kes itu telah pun berakhir.

Katanya, Peguam Negara dengan pelbagai alasan yang pelik, meletakkan mahkamah dalam keadaan yang tiada pilihan melainkan melepaskan tertuduh walaupun berstatus DNAA.

“Maka jelaslah perkara ini sepatutnya boleh dibincangkan oleh orang ramai, apatah lagi oleh Ahli Parlimen dalam forum rasmi berkepentingan awam di Dewan Rakyat.

“Keperluan untuk kes berkenaan dibahaskan dalam forum tertinggi negara juga semakin perlu dan mendesak, memandangkan kesan besarnya bukan saja ke atas institusi perundangan dan kehakiman, tetapi juga terhadap imej serta integriti kerajaan dan negara di mata rakyat serta masyarakat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, ada pelbagai respons negatif, tidak puas hati dan perbahasan serta komentar meluas dalam kalangan rakyat mengenai kes ini.

“Ini jelas menunjukkan kes ini dan keputusan Peguam Negara dan mahkamah berkait dengannya adalah petanda jelas mengenai kepentingan kes ini,” katanya.

Katanya, PN juga melihat alasan Perdana Menteri bahawa Peguam Negara bukan menteri atau Ahli Parlimen bagi menyokong kenyataan beliau menolak perbahasan isu itu di Parlimen amat tidak boleh diterima.

“Selama ini segala isu perundangan termasuk yang dibangkitkan di Parlimen oleh Perdana Menteri sendiri dan partinya semasa berada di pihak pembangkang dulu dapat dijawab.

“Malah diberikan penerangan yang jelas oleh Menteri-Menteri yang berkaitan termasuk kes mahkamah membabitkan isu 1MDB dan seumpamanya,” katanya

Justeru, katanya, PN amat percaya berdasarkan keadaan tidak positif yang wujud dalam masyarakat berhubung isu ini, maka keputusan penghakiman DNAA itu perlu diteliti dan diperiksa Parlimen.

Ini kerana, tegas beliau kes itu berkait rapat dengan soal integriti dan kebolehpercayaan

terhadap Jabatan Peguam Negara.

Malah katanya PN membayangkan kebarangkalian yang tinggi campur tangan pihak kerajaan sendiri dalam kes ini.

“PN menyeru dan mengharapkan agar Yang Dipertua Dewan Rakyat akan membuat petua yang dihormati (respected ruling) berkaitan perkara ini berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada secara adil saksama tanpa gentar dan memihak serta tidak tunduk kepada desakan mana-mana pihak termasuk kerajaan,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close