MalaysiaPolitic

Fungsi, peranan, Ombudsman Malaysia akan diteliti semula

KUALA LUMPUR: Fungsi dan peranan Ombudsman Malaysia yang bakal ditubuhkan akan diteliti semula berikutan terdapat sedikit persamaan dan pertindihan dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata sebanyak tiga sesi libat urus dilaksanakan pada tahun ini bersama agensi perkhidmatan awam Persekutuan dan badan bukan kerajaan (NGO) pada 8 Mei lalu dan ahli Parlimen pada 14 Jun lalu.

Katanya, Biro Pengaduan Awam (BPA) melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menubuhkan Ombudsman Malaysia sebagai satu badan bebas yang akan menerima dan menguruskan aduan berkaitan sistem penyampaian perkhidmatan awam Persekutuan berdasarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“Hasil sesi libat urus yang dilaksanakan, sebahagian besar pihak yang terbabit tidak mempunyai halangan berhubung penubuhan Ombudsman Malaysia.

“Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara perlu diteliti semula, khususnya, berkaitan skop fungsi dan peranan Ombusdman Malaysia yang mempunyai sedikit persamaan dan pertindihan dengan agensi lain,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Azalina berkata, Kabinet bersetuju skop dasar rang undang-undang (RUU) berkaitan pendanaan politik dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Katanya, perkara itu diangkat untuk pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 13 September lalu.

Katanya, terdapat tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan RUU pendanaan politik, antaranya bagi mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia sumbangan politik.

“Peranan pengawalseliaan dilaksana sebuah badan berkanun Persekutuan sebagai entiti bebas dan berkecuali bagi membolehkan pengawalan sumbangan politik dibuat sepanjang masa, bukan ketika pilihan raya saja.

“Pertimbangan lain juga bagi mengawal selia sumbangan politik yang diterima oleh parti politik, ahli parti, calon pilihan raya (termasuk calon Bebas) dan ejen pilihan raya,” katanya.

Azalina berkata, pertimbangan itu juga supaya sumbangan politik dalam apa juga bentuk daripada entiti luar negara tidak dibenarkan.

“Selain itu, pertimbangannya supaya terdapat penetapan berhubung jumlah sumbangan dibenarkan dan perlu diisytihar oleh parti atau ahli politik individu.

“Bagi sumbangan politik yang diterima parti, ahli politik atau calon Bebas pilihan raya, sumbangan hendaklah dimasukkan ke dalam suatu akaun khas yang diwujudkan hanya untuk sumbangan politik,” katanya

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close