
KUALA LUMPUR: Kelonggaran bersyarat kepada warga asing daripada mendapatkan Kelayakan Pasca Asas untuk bekerja di negara ini mengurangkan tekanan di hospital swasta akibat kesesakan pesakit, sekali gus membolehkan usaha menambah lebih banyak katil untuk pesakit.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (PHSM), Datuk Dr Kuljit Singh, pihaknya sudah menerima surat Pendaftar Lembaga Kejururawatan, Kementerian Kesihatan (KKM), menyatakan pengecualian diberikan mulai 1 Oktober ini hingga 30 September 2024, dengan lanjutan tambahan diberikan berdasarkan permohonan semula dan kelulusan.
“PHSM mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan Pendaftar Lembaga Jururawat, Devi Saravana Muthu, atas bantuan mereka dalam perkara ini.
“Permintaan kami telah diluluskan dan pesakit yang mendapatkan penjagaan di hospital swasta kini akan mendapat akses perkhidmatan yang lebih baik dan kemasukan lebih awal dengan katil yang tersedia,” katanya kepada BH.
Terdahulu KKM mengumumkan kelonggaran bersyarat secara sementara kepada kemudahan kesihatan swasta untuk mengambil jururawat terlatih warga asing, bagi tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober ini.
Dr Zaliha dilaporkan berkata kekurangan tenaga kerja jururawat di sektor awam dan swasta memberi kesan besar terhadap penyampaian perkhidmatan kesihatan secara efektif di negara ini dan perkara itu sudah lama dibangkitkan pelbagai persatuan dalam rangkaian industri perubatan swasta dan ia harus segera diatasi.
Dr Kuljit berkata, permintaan untuk jururawat terlatih tetap meningkat secara berterusan terutama berikutan pandemik COVID-19 berikutan jururawat tempatan mahir mendapat gaji yang lebih tinggi di luar negara.
“Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab penjagaan kesihatan untuk pesakit tempatan dan pelancong perubatan dan inisiatif KKM menunjukkan keprihatinan mereka terhadap penyampaian penjagaan kesihatan swasta yang menambah baik penjagaan kesihatan awam,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Jururawat Malaya (MNU), Nor Hayati Abd Rashid, berkata KKM tetap perlu mengutamakan pengambilan jururawat tempatan, selain mengkaji semula kadar gaji bagi menarik minat jururawat kekal berkhidmat di negara ini.
Pada masa sama beliau menyarankan peluang lebih banyak bagi melanjutkan pengajian dalam bidang khusus bagi memastikan jururawat menjadi pakar dalam bidang mereka.
Katanya, pihaknya menyambut baik langkah KKM melonggarkan kriteria pengambilan jururawat terlatih warga asing di fasiliti kesihatan swasta yang diharap dapat menangani masalah kekurangan jururawat.
“Untuk fasiliti kesihatan swasta kami setuju, mereka perlu berkembang dan kami yakin KKM mempunyai perancangan jangka panjang yang mampu menangani isu ini,” katanya.
Katanya, tiada isu lambakan jururawat pada masa depan berikutan pasaran yang sentiasa memerlukan jururawat terlatih.