
KOTA BHARU: Kelantan United Football Club (KUFC) tidak memberi muka apabila membenam pasukan ‘abang’, Kelantan FC 7-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Cabaran 2023 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Kemenangan itu harus meletakkan anak buah Ailton Dos Santos sebelah kaki ke separuh akhir manakala kekalahan The Red Warriors (TRW) itu terus menjadikan mereka pasukan belasahan.
Pesta gol KUFC bermula pada minit kesembilan apabila rembatan Dominik Balic menggegar gawang TRW.
Selang 10 minit kemudian, skuad Kijang Hijau menambah gol menerusi tandukan Ismaheel Akinade hasil sepakan sudut pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin dan kedudukan 2-0 kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Indra Putra terus mengukuhkan kedudukan KUFC dengan gol ketiga di minit ke-59.
Anak buah Dos Santos terus mengganas apabila Mohd Faiz Mohd Nasir berjaya merobek gawang pelawat untuk kali keempat di minit ke-74.
Pemain gantian, S Sharvin mudah menolak masuk gol kelima buat Kijang Hijau, lima minit kemudian sebelum seorang lagi pemain gantian, Royizzat Daud melengkapkan kemenangan bergaya KUFC dengan dua gol dalam tempoh selang seminit pada minit ke-88 dan 89.