
KUALA LUMPUR: Kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL) menyifatkan, siasatan polis terhadap penganjuran perhimpunan “Selamatkan Malaysia” yang diadakan di ibu kota pada Sabtu lalu, adalah menyalahi undang-undang.
Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata siasatan berhubung dakwaan kegagalan memberi notis sewajarnya mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) tidak mempunyai asas perundangan kerana Mahkamah Rayuan pada 2014 membatalkan peruntukan berkaitan.
Beliau berkata, tindakan polis mengisytiharkan perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana kegagalan memberikan notis yang mencukupi bukan sahaja melangkaui bidang kuasa APA, tetapi juga melanggar Perlembagaan.
“Walaupun ada pelanggaran akta seperti yang didakwa, ini dengan sendirinya tidak membenarkan polis mengisytiharkan perhimpunan menyalahi undang-undang.
“Hak untuk berhimpun secara aman adalah jaminan Perlembagaan yang termaktub dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu adalah menyalahi undang-undang untuk polis membuat pengisytiharan sedemikian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaid berkata, siasatan berterusan untuk dakwaan kegagalan memberikan notis sewajarnya mengenai perhimpunan adalah dibuat tanpa sebarang asas undang-undang.
“Siasatan sedemikian adalah untuk kesalahan mengikut Seksyen 9(5) APA, yang menyatakan bahawa kegagalan untuk memberi notis akan menyebabkan seseorang boleh didenda tidak melebihi RM10,000.
“Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan telah menolak Seksyen 9(5) APA kerana melanggar Perlembagaan dalam kes Nik Nazmi bin Nik Ahmad lwn Pendakwa Raya pada 2014. Keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini masih kekal dan tidak dibatalkan oleh mahkamah yang lebih tinggi,” jelasnya.
Beliau berkata, walaupun pada 2015 dalam kes Pendakwa Raya lwn Yuneswaran, mahkamah memberi pendapat bahawa Seksyen 9(5) Akta APA adalah berperlembagaan dan tidak bersetuju dengan keputusan Nik Nazmi.
“Bagaimanapun, mahkamah pada 2015 tidak boleh menolak keputusan awal itu kerana kedua-dua mahkamah berada pada tahap yang sama.
“Hanya Mahkamah Persekutuan, yang merupakan mahkamah tinggi, boleh menolak keputusan Nik Nazmi. Ini tidak pernah berlaku, dan keputusan itu kekal sah dan boleh dikuatkuasakan sehingga kini,” katanya.
Zaid berkata, kes itu mempunyai kesan yang serius untuk siasatan polis yang dikatakan mengenai pelanggaran APA.
“Kerajaan tidak boleh membenarkan polis berleluasa dengan melakukan siasatan yang menyalahi undang-undang. Kita bukan di bawah pemerintahan polis; mereka tidak boleh melaksanakan apa yang tidak termaktub dalam undang-undang,” tegasnya.
Lebih mengejutkan katanya, apabila Jabatan Peguam Negara membenarkan penyiasatan dan pendakwaan ini dijalankan.
Susulan itu, Zaid menggesa polis menghentikan serta-merta semua penyiasatan mengikut Seksyen 9(5) APA.
Beliau mencadangkan semua siasatan atau pendakwaan yang belum selesai mengikut APA sejak 2014 juga digantung, dan perkara itu dirujuk untuk dilupuskan kepada Peguam Negara.
“Hak Perlembagaan dan undang-undang kita mesti dilindungi, dan pencabulannya, terutamanya oleh pihak berkuasa penguatkuasaan tidak boleh dibiarkan,” katanya.
Sebelum ini Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid pada hari Sabtu bahawa perhimpunan itu menyalahi undang-undang kerana didakwa tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).
Pada April 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim, Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof, memutuskan Seksyen 9 (5) APA tidak berperlembagaan kerana sebarang ketidakpatuhan di pihak penganjur tidak mengundang hukuman jenayah.
Mohd Ariff memutuskan peruntukan APA tidak boleh ditafsirkan sebagai tidak mematuhi undang-undang hanya kerana perhimpunan itu diadakan tanpa memberi notis dalam tempoh 10 hari yang ditetapkan atau notis disingkatkan.
Seorang lagi hakim, Datuk Mah Weng Kwai, pula berkata Seksyen 9(5) APA yang menetapkan kegagalan penganjur memberikan notis 10 hari sebelum mengadakan perhimpunan sebagai perlakuan jenayah adalah tidak munasabah, kerana ia umpama melarang diadakan perhimpunan segera atau spontan.