MalaysiaSukan

Fandi beri berita baik kepada KL City

KUANTAN: Masalah kecederaan dan penggantungan membelenggu Sri Pahang FC menjelang aksi suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, kecederaan itu membabitkan pemain pertahanan, Nur Shamie Iszuan Amin manakala Kevin Ingreso pula digantung perlawanan kerana mengutip dua kad kuning.

“Ketika ini, Shamie mengalami kecederaan pada buku lali ketika latihan dan tidak dapat menghabiskan latihan pada sesi petang semalam.

“Sama ada Shamie dapat bermain atau tidak Ahad ini bergantung kepada tahap kecederaan kerana mengalami bengkak pada buku lalinya.

“Ketiadaan Ingreso yang digantung turut memberi kesan tetapi saya masih mempunyai pilihan pemain lain untuk mengisi kekosongan itu.

“Fokus utama ialah memperkasakan jentera serangan dan tengah serta memastikan barisan pemain pertahanan berjaya menyekat lawan,” katanya.

Fandi turut mengakui di sebalik fokus pasukan untuk mendapatkan gol awal, beliau mengingatkan anak buahnya supaya mengekalkan prestasi dan corak permainan sepanjang tempoh 90 minit.

Beliau juga seboleh-bolehnya tidak mahu perlawanan itu berlanjutan sehingga ke masa tambahan.

“Sebab itu pemain perlu mendapatkan jaringan awal dan memastikan kemenangan buat pasukan memandangkan KL City berbekalkan satu gol dan mereka juga mahu menambah jaringan untuk mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close