
PERMATANG PAUH: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan penilaian menyeluruh kerosakan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu di sini susulan kebakaran yang memusnahkan lima bilik darjah, petang tadi.
Menteri Fadhlina Sidek berkata penilaian kerosakan itu mengambil masa sekurang-kurangnya 14 hari sebelum pihaknya meluluskan bantuan bencana terhadap sekolah terbabit.
Katanya, ibu bapa tidak perlu risau memandangkan sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan berjalan seperti biasa namun mengikut mekanisme sementara yang akan dimaklumkan kelak.
“Di peringkat KPM, kita akan berbincang dengan pihak sekolah untuk beberapa perkara dan tindakan pertama berkaitan tentang penilaian keseluruhan kerosakan,” katanya selepas meninjau keadaan di sekolah itu hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, buat sementara waktu tindakan untuk memastikan keselamatan keseluruhan termasuk memeriksa pendawaian elektrik di sekolah itu sedang dilaksanakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi, lima bilik darjah sekolah berkenaan dilaporkan terbakar dan ketika kejadian tiada murid manakala guru pula berada di bilik guru.