
bhnews@@bh.com.my
KOTA BHARU: Jabatan Penjara akan membantu banduan yang sudah dibebaskan untuk mendapat peluang pekerjaan bersesuaian dengan mereka.
Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad, berkata setiap bulan hampir 10,000 banduan dibebaskan dan 6,000 atau 60 peratus daripada mereka akan dibantu untuk mendapatkan pekerjaan.
Katanya, buat masa ini penjara Malaysia mempunyai hampir 80,000 banduan dan setiap bulan membebaskan kira-kira 10,000 banduan.
“Dengan kerjasama semua pihak terutama daripada masyarakat sangat diperlukan supaya memberi peluang kedua kepada mereka yang tersasar untuk kembali ke pangkal jalan dapat disempurnakan,” katanya berucap merasmikan Program My Pride Fest Peringkat Zon Timur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, pelaksanaan MyPride Fest diadakan tepat pada masanya kerana Jabatan Penjara memiliki produk yang berkualiti tinggi, selain menawarkan harga yang berpatutan hasil tangan penghuni dari sebalik tembok.
“Antara produk yang dihasilkan oleh banduan termasuklah besi, kayu, makanan dan fabrik batik, songket serta Tenun Pahang yang terkenal.
“Antara misi jabatan adalah keusahawanan iaitu membangunkan dan melatih penghuni dengan kemahiran bagi menyokong ekonomi setelah mereka dibebaskan nanti supaya menjadi lebih maju serta berdaya saing,” katanya.