
HANGZHOU: Trio pecut lelaki dan wanita berbasikal trek negara masing-masing menyumbang pingat gangsa buat kontinjen Malaysia selepas meraih tempat ketiga dalam acara berpasukan di Sukan Asia Hangzhou, hari ini.
Membariskan dua pelumba muda, Umar Hasbullah dan Muhammad Ridwan yang tampil buat kali pertama kali di temasya Sukan Asia bersama pelumba berpengalaman, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, trio lelaki berjaya mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengatasi trio Taiwan pada aksi penentuan gangsa.
Barisan pelumba negara itu mencatatkan masa 44.165 saat (s) manakala lawan, 44.276s.
Terdahulu, barisan pelumba basikal wanita negara yang dibarisi Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati dan Anis Amira menghadiahkan khabar gembira apabila turut menyumbangkan gangsa.
Dalam perlumbaan penentuan gangsa, mereka berjaya menewaskan trio Taiwan dengan catatan masa 49.025s berbanding lawan 50.344s.